Polis kompaun penganjur majlis perkahwinan di sebuah kediaman di Bagan Jermal, Butterworth di sini semalam.

BUTTERWORTH – Sebuah keluarga dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjurkan majlis kenduri kahwin ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown) di Bagan Jermal di sini semalam.

Pihak polis mengesan majlis perkahwinan itu ketika melakukan operasi pematuhan SOP di sekitar kawasan berkenaan pada jam 1 tengah hari.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan di dalam kediaman tersebut mendapati 20 individu yang terdiri daripada pihak pengantin lelaki dan wanita serta seorang jurugambar.

“Siasatan lanjut tuan rumah mengaku mengadakan majlis bagi meraikan pernikahan anak lelakinya.

“Pemeriksaan ke atas semua individu berusia lingkungan 16 hingga 50 tahun tiada kesalahan merentas negeri atau daerah.

Tuan rumah dikompaun anjur majlis perkahwinan di Bagan Jermal, Butterworth di sini semalam.

“Susulan itu, kita mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,000 masing-masing ke atas penganjur serta jurugambar atas kesalahan ingar SOP dengan menganjurkan majlis perkahwinan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Noorzainy, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dilihat sengaja melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, sebanyak 41 kompaun gagal patuh SOP dikeluarkan dalam tempoh 24 jam dalam daerah Sebernag Perai Utara.

“Kompaun paling banyak direkodkan membabitkan kesalahan pergerakan rentas negeri dan daerah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette