Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.- Pix ihsan Buletin Mutiara.

GEORGE TOWN – Pengekstrakan air bawah tanah bukan satu penyelesaian jangka panjang dalam isu menangani isu bekalan air di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, pengekstrakan itu juga mungkin bukan pilihan baik ekoran faktor sosio-geografi.

Katanya, Pulau Pinang dilitupi kawasan tanah seluas 1,048 kilometer (km) persegi, potensi jumlah air bawah tanah yang ada adalah rendah kerana keluasan geografinya yang kecil.

“Kaedah itu dijangka menyebabkan ‘penurunan tanah’ atau tanah tenggelam dan aspek negatif itu sudah diteliti serta didokumentasikan secara saintifik di seluruh dunia.

“Ini sekali gus menyebabkan potensi kerosakan akibat penurunan tanah yang mungkin menjadi bencana di kawasan bandar dan kejadian banjir antara kesan semulajadi eksploitasi berleluasa air bawah tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jaseni, pengekstrakan air bawah tanah adalah satu penyelesaian bekalan air yang tidak sesuai, daripada segi risiko yang lebih tinggi berbanding hasil lebih rendah (potensi) kerana keadaan dan persekitaran sosio-ekonomi berbeza.

Jelas beliau, ia antara sebab mengapa air bawah tanah tidak diteroka sejak sistem bekalan air mudah pertama beroperasi di sini pada tahun 1805.

“Air bawah tanah harus dianggap sebagai air mentah dan ia perlu diuji dan dirawat supaya selamat untuk disalurkan kepada orang awam.

“Bagi mencapai keselamatan bekalan air jangka panjang hingga 2050, PBAPP berhasrat bagi terus mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang dan menghasilkan air terawat kepada penduduk Pulau Pinang dengan kos yang berpatutan,” tegas Jaseni.

Dalam perkembangan sama Jaseni berkata, PBAPP juga ingin menubuhkan ‘Lembaga Lembangan Ulu Muda’ (UMBA) bagi melindungi dan menguruskan bekalan air kepada 4.2 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kita juga mahu merealisasikan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi meneroka sumber air mentah yang kedua.

“Mengabstrak air mentah terus dari Sungai Muda di wilayah Pulau Pinang adalah percuma dan ‘mengimport’ air mentah dari Perak adalah penyelesaian air mentah lain paling efektif bagi Pulau Pinang.

“PBAPP juga berhasrat menjalankan Pelaksanaan Fasa 1 Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS) bagi memenuhi keperluan air pada musim kemarau ketika paras air sungai luar biasa rendah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast