WASHINGTON – Pakar-pakar bimbang varian Delta berada pada landasan tepat untuk menjadi strain koronavirus yang dominan di Amerika Syarikat (AS).
Varian Delta, yang dikenal dengan nama ilmiah B.1.617.2, telah menyebar dari India ke lebih dari 60 negara, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS), Scott Gottlieb berkata, varian Delta kemungkinan akan menjadi sumber jangkitan baharu yang dominan di AS dan boleh menyebabkan penularan baharu pada musim gugur terutama memberi risiko kepada warga Amerika yang tidak divaksinasi.
”Sekarang ini, di AS terdapat sekitar 10 peratus jangkitan. Angka ini berlipat ganda setiap dua minggu,” kata Gottlieb.
Pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Anthony Fauci, baru-baru ini mengatakan varian telah menjadi strain yang dominan di United Kingdom, menyumbang kira-kira 60 peratus kes baru, menggantikan strain B.1.1.7.
Varian Delta dikaitkan dengan risiko berlipat ganda di hospital berbanding strain B.1.1.7 yang pertama kali dijumpai di UK, menurut penemuan awal kajian Scotland yang diterbitkan pada Isnin di The Lancet.
Varian ini juga salah satu daripada enam varian yang beredar di Amerika Syarikat yang diklasifikasikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) sebagai “varian perhatian.”
Pakar bimbang tentang peningkatan pertumbuhan varian Delta.
Sebulan lalu, strain tersebut menyumbang lebih dari 1 peratus sampel virus yang diuraikan dan sekarang menyumbang lebih dari 6 peratus sampel virus yang diuraikan di Amerika Syarikat, menurut data CDC. – MalaysiaGazette