Tempat tinggal suspek dan mangsa semasa kejadian di Kampung Sungai Ramal Baru, Kajang.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Indonesia kini bertarung nyawa selepas ditikam oleh suaminya sendiri yang cemburu selepas mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa berusia 41 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci.

Semasa kejadian pada Sabtu sekitar pukul 6.52 petang, mangsa berada di dalam rumah di Kampung Sungai Ramal Baru sebelum ditikam suaminya yang kini sudah menghilangkan diri selepas insiden itu.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menerima satu laporan polis dibuat oleh anggota bertugas Bilik Gerakan Kajang yang menerima panggilan kecemasan Mers 999 dari orang awam memaklumkan mangsa seorang warga Indonesia telah ditikam di dalam rumah.

“Mangsa telah dimasukkan ke Zon Kritikal seterusnya dipindah ke wad di Hospital Kajang dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dengan 10 tikaman dengan senjata tajam.

“Hasil pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat empat kesan tikaman di bahagian dada, masing-masing dua kesan tikaman di tangan kiri dan kaki kanan, satu tikaman di kaki kiri dan satu lagi tikaman di bawah dagu (jawline),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, polis sedang mengesan suspek utama kejadian yang telah dikenal pasti sebagai seorang lelaki Indonesia berusia 40-an dengan nama panggilan Johari @Jo yang juga merupakan suami kepada mangsa.

Menurut beliau, punca kejadian disyaki akibat cemburu mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya.

Dalam pada itu sumber memberitahu MalaysiaGazette, mangsa baru dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suspek yang bekerja sebagai tukang bina rumah dan potong rumput.

“Polis telah menggeledah rumah tetapi gagal menemui sebarang dokumen milik suspek yang kini sudah menghilangkan diri. Pada mulanya jiran mendengar suara jeritan mangsa sebelum bergegas masuk ke dalam rumah wanita itu dan terkejut mangsa dalam keadaan berlumuran darah mendakwa telah ditikam suaminya sebelum jatuh pengsan,” katanya sambil menjelaskan mangsa dalam keadaan stabil.

Justeru polis menasihati mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi IPD Kajang ditalian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis atau terus menghubungi Inspektor Suresh di talian 017-4333795.-MalaysiaGazette