Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Dua atlet olahraga negara, Hairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi terlepas peluang menyertai Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pada 19 dan 20 Jun ini.

Ia berikutan salah seorang daripada mereka gagal melepasi ujian saringan Covid-19 yang diterima sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, dalam soal itu, kerajaan memberi keutamaan serius mengenai aspek kesihatan para atlet negara.

“Meskipun insiden itu telah merencatkan peluang kedua-dua jaguh lumba lari negara itu yang memegang rekod emas Sukan SEA 2017 dan 2019 untuk memperbaiki kedudukan mereka didalam ranking World Athletics, keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan mereka jauh lebih penting dan diutamakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak yang terlibat termasuk persatuan sukan yang bertanggungjawab terhadap persediaan, kesihatan dan keselamatan atlet negara agar sentiasa peka dan meneliti setiap urusan melibatkan atlet mereka.

“Pematuhan terhadap prosedur operasi standard hendakah sentiasa diberi perhatian dan keutamaan.

“Saya juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara untuk sentiasa memastikan pemantauan berterusan dilakukan terhadap program-program latihan atlet negara pada setiap masa.

“Saya mendoakan dan mengharapkan kesemua lapan atlet yang kini diKazakhstan akan memperolehi kejayaan yang bermakna demi Malaysia,” tegasnya.-MalaysiaGazette