Gambar hiasan

KITA sebagai manusia tidak dapat lari dari menghadapi kesukaran dalam menyelesai atau mengendalikan pelbagai isu dalam kehidupan seharian kita. Namun, kadang-kala hingga suatu tahap kita buntu dan putus asa dengan ikhtiar kita. Di sinilah ketikanya kita
memerlukan seseorang yang boleh mendengar, memahami dan membantu kita untuk
menangani isu yang kita hadapi itu. Inilah peranan seorang kaunselor dalam perkhidmatan kaunseling.

Perkhidmatan kaunseling memberi peluang dan ruang untuk kita berbincang tentang masalah atau isu yang kita hadapi dengan seorang kaunselor terlatih dalam perhubungan yang profesional. Kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien dan kaunseling itu bukan bererti nasihat walaupun di dalam proses
membantu itu terdapat nasihat diberikan (bila perlu). Oleh itu, apa yang kita boleh fahami
ialah perhubungan kaunseling itu ialah membimbing klien mencari sumber dirinya
(kekuatan, kelebihan, kelemahan dan kekurangan) untuk memahami dan menyelesaikan isu yang dihadapi.

Perkhidmatan kaunseling bukanlah satu perkhidmatan yang baru di Malaysia. Mengimbas kembali sejarah awal perkhidmatan kaunseling di Malaysia, ia bermula dengan penerbitan buku “A guide to careers in Malaya for parents, teachers and pupils” oleh Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu pada tahun 1939. Rentetan itu,
perkhidmatan kaunseling disebarluaskan ke pelbagai sektor dan lapangan seperti
kementerian, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Dari masa ke semasa pusat atau unit yang menawarkan perkhidmatan kaunseling bertambah untuk memudahkan masyarakat datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Keperluan kaunseling mula mendapat perhatian dimata masyarakat bila mana
pelbagai insiden sedih melanda negara kita antaranya seperti insiden MH17 dan MH370,
bencana banjir besar yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia, insiden kebakaran di
Pusat Tahfiz Ittifaqiyyah dan kini negara kita dan seluruh dunia menghadapi krisis pandemik COVID-19. Dalam situasi begini, perkhidmatan kaunseling sangat diperlukan untuk membantu individu, ahli keluarga dan masyarakat yang terlibat dalam menangani pelbagai isu terutamanya melibatkan isu kesejahteraan mental dan emosi. Kini, dengan kekangan dan cabaran dalam pandemik ini, perkhidmatan kaunseling mula ditawarkan secara atas talian.

Bagi membudayakan kaunseling dalam masyarakat kita, pelbagai pihak perlu
bersama-sama berganding bahu. Peranan kaunselor haruslah menjadi tunggak dalam
memberi persepsi positif kepada masyarakat dan seterusnya mempromosi dan memartabat perkhidmatan kaunseling. Kaunselor kini bukan sekadar duduk di dalam bilik menjalankan sesi kaunseling tetapi harus pergi kepada masyarakat dan mengambil tahu keperluan masyarakat. Untuk itu, kaunselor perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman. Pendek kata, kaunselor perlu bersiap-sedia dalam menjadi seorang kaunselor yang kompeten untuk mendepani pelbagai isu dalam masyarakat.

Selain itu, masyarakat juga perlulah memberi ruang dan peluang untuk kaunselor mendekati mereka. Masyarakat perlu membuang persepsi negatif terhadap perkhidmatan kaunseling seperti ‘kaunseling hanya untuk orang yang bermasalah’, ‘malu berjumpa kaunselor kerana takut orang menganggap kita ada masalah besar’, ‘tidak mempercayai kaunselor boleh membantu menyelesaikan masalah’ dan sebagainya. Oleh itu, kaunselor dan masyarakat perlulah bergandingan dalam usaha untuk menjadikan masyarakat yang sejahtera dan bahagia.

Kesimpulannya, perkhidmatan kaunseling meliputi pelbagai aspek seperti mencegah,
mengembang, mengkaji, menolong dan membimbing individu, keluarga, masyarakat dan
negara. Marilah kita sama-sama membudayakan kaunseling, menjadikan sesi kaunseling
sebagai salah satu keperluan dalam kehidupan untuk membantu kita menangani pelbagai isu dalam kehidupan.

 

Dr. Siti Nubailah Mohd Yusof.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Program Kaunseling
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.