KUALA LUMPUR – Pelantikan naib canselor sesebuah universiti memerlukan pemilihan teliti menerusi tatacara proses saringan ketat peringkat institusi dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran senada dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai kriteria pelantikan naib canselor seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Mohammad Shatar menegaskan, calon naib canselor perlu mempunyai wawasan jauh untuk membawa intistusi pimpinannya ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, pelantikan itu bukan sesuatu yang boleh dibuat sembarangan kerana ia bakal menentukan hala tuju dan kejayaan universiti berkenaan.
Katanya, banyak kriteria perlu dilihat dalam pemilihan itu terutamanya pengalaman mentadbir urus dan memacu organisasi membawa visi dan misi universiti.
“Calon naib canselor bukanlah individu yang hanya hebat dalam bidang kepakarannya seperti cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah perlu serba boleh dalam aspek lain terutama membabitkan kepemimpinan, mempunyai afiliasi dengan industri dan golongan akademia di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Penting bagi seseorang naib canselor mempunyai kemahiran insaniah yang mantap bagi mengetuai warga universiti yang bersifat dinamik, memahami citarasa, perasaan serta aspirasi mereka,” katanya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam berkata demikian ketika mengulas isu pelantikan lima naib canselor universiti awam (UA) yang didakwa mengalami kelewatan, baru-baru ini.
Beliau berkata, pemilihan juga perlu mengambil kira impak ditunjukkan calon melalui kejayaan mereka dalam menerajui program signifikan terhadap pembangunan universiti.
Katanya, seseorang calon perlu mempunyai resume mantap dalam pelbagai aspek terutama dalam dunia VUCA yang merujuk volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas) kini.
“Semua kriteria ini perlu diteliti sebelum individu dipilih sebagai naib canselor kerana akhirnya hasil yang mahu dilihat ialah terjemahan kecemerlangan sesebuah universiti itu yang paling mudah dibuktikan menerusi penarafan universiti dunia.
“Kualiti pendidikan tinggi di negara ini sudah terbukti bertaraf antarabangsa dengan tersenarainya 22 universiti dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022, justeru ia perlu dikekalkan dengan melantik pemimpin universiti yang mampu melonjakkan lagi Malaysia untuk memenuhi hasrat menjadi hab pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette