KUALA LUMPUR – Sidang Parlimen yang akan dibuka oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada September depan akan dibuat secara fizikal dan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan hanya sebahagian ahli Parlimen akan dibenarkan memasuki Dewan Rakyat dan selebihnya melalui atas talian.
“Kerajaan sedang dan akan terus buat kajianan terperinci kearah laksanakan Parlimen hibrid di mana konsep yang kita laksanakan tidak ada bezanya dengan Parlimen di dunia, apabila kita sebut hibrid ini gambarannya adalah sebahagian ahli Parlimen akan hadir ke Dewan Rakyat secara fizikal.
“Penampilan fizikal dengan duduk dalam Dewan Parlimen manakala sebahagian lagi tidak berada di Parlimen, mereka berada di merata-rata tempat dan bersidang secara maya.
“Kita boleh berkomunikasi atau dalam konteks Parlimen Hibrid ini apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil persidangan Parlimen atas nasihat Ketua Majlis Parlimen iaitu Perdana Menteri, maka Parlimen mesti mengadakan sidang,” katanya katanya dalam program khas anjuran HarakahDaily bertajuk Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Tidak secara langsung di Facebook lidah rasmi Pas malam ini.
Awal bulan ini, Takiyuddin berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Takiyuddin berkata, langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.
Mengulas lanjut, Takiyuddin menegaskan, langkah itu difikirkan wajar kerana apabila sidang Parlimen mengambil tempat, seramai lebih 1,000 individu terdiri daripada wakil rakyat, pegawai kerajaan dan kakitangan Parlimen akan berada di dalam Parlimen, dan ini akan meningkatkan risiko penularan Covid-19.
“Masalahnya sekarang kita berada dalam episod pandemik Covid-19 bagaimana dalam satu tempat yang tertutup seumpama Dewan Parlimen yang mempunyai kapasiti ahli Parlimen 222 kerusi, di satu bahagian ada bentara selain Yang Dipetua dan Timbalan Dipertua Dewan Rakyat.
“Paling tidak seorang ahli Parlimen ada tiga orang pegawai, jadi 222 kena dikali dengan tiga jadi ada 666, ini tidak termasuk pegawai kerajaan lagi, pegawai Parlimen termasuk pekerja di kafateria, petugas keselamatan.
“Jadi, atas dasar dalam masa kita berada dalam pandemik Covid-19 ini kita merasakan bahawa pilihan yang ada kepada kita adalah buat persidangan secara hibrid,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menentukan mana ahli-ahli Parlimen yang akan diwajibkan hadir secara fizikal dan mana ahli-ahli Parlimen yang hadir secara dalam talian.
“Semua ahli Parlimen daripada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Johor sebahagiannya tidak perlu datang ke Parlimen. Kita akan tentukan siapa yang boleh hadir secara fizikal dan berapa jumlahnya sebab dalam Parlimen ini ada peraturan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.
Bagaimanapun hari ini Agong telah menzahirkan perlunya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin selepas mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tarikh PM umum mahu sidang Parlimen pun sudah dekat – Takiyuddin