KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai pilihan lagi, melainkan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk memanggil sidang Parlimen sesegera mungkin.
Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sudah dua kali YDPA bertitah supaya Parlimen bersidang dalam tempoh darurat ini, tetapi tidak diendahkan.
Katanya, YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu memandang serius usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi negara, tetapi menerusi Parlimen, bukan daripada idea Kabinet, yang ternyata gagal.
“YDPA melalui siaran media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja semalam telah menitahkan supaya Parlimen bersidang segera bagi membolehkan Ahli-Ahli Parlimen membahas dan membincangkan isu berkaitan Covid-19, program vaksinasi, perbelanjaan wang negara dan pemulihan ekonomi yang semakin tenat.
“Sebelum ini, YDPA telah pun memberi ampun perkenan agar Parlimen bersidang, tetapi tidak dihiraukan kerajaan yang tidak pasti dengan keabsahannya kerana sokongan majoritinya menjadi tanda tanya.
“Oleh itu, tidak ada pilihan lagi bagi kerajaan yang bergayut di dahan rapuh untuk tidak memanggil sidang Dewan Rakyat secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, Putra menjunjung kasih dengan lafaz Daulat Tuanku kerana gesaan parti itu agar YDPA menitahkan Parlimen bersidang segera.
Kata beliau, oleh kerana Majlis Gerakan Negara (Mageran) bukan menjadi pilihan, namun Parlimen mesti bersidang segera adalah menjadi pilihan utama yang sudah pasti mengembirakan rakyat.
Ini kerana, fungsi Parlimen bukan sahaja membahas dasar dan undang-undang, tetapi lebih penting peranan semak dan imbang disebabkan wang beratus bilion yang dibelanjakan mesti diaudit oleh Dewan Rakyat serta projek runding terus yang diluluskan dalam masa darurat serta lain-lain perkara mesti berteraskan ketelusan dan integriti.
“YDPA dan Raja-Raja Melayu dalam perjumpaan khas petang semalam telah menzahirkan Daulat Raja Payung Negara dan menentukan demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan dijunjung tanpa tolak ansur.
“YDPA juga menitahkan agar program vaksinasi diperhebatkan sebagai jalan keluar kepada ancaman Covid-19 yang semakin serius ketika ini. Baginda juga mahu sasaran 80 peratus imuniti kelompok dicapai secepat mungkin.
“Ini menunjukkan program vaksinasi sekarang amat perlahan dan pelbagai isu berkaitan timbul tanpa dapat diselesaikan dengan baik,” kata beliau.
Beliau turut berkata, terlalu banyak kritikan, kecaman dan pelbagai persoalan ditimbulkan termasuk pembelian vaksin dan sistem MySejahtera sehingga ada tuduhan dikatakan ada pihak kaut komisen begitu banyak melalui kroni.
“Amat wajar menteri yang bertanggungjawab ini diganti dan diwujudkan Task Force dengan melantik anggota berintegriti, bukan di kalangan orang politik supaya dapat fokus kepada pencapaian matlamat vaksinasi 80 peratus secepat mungkin,” ujarnya.
Ibrahim juga menasihatkan Ahli-Ahli Parlimen apabila bersidang, mempamerkan kualiti perbahasan, berfakta, berani dan tegas sebagai suara yang mewakili rakyat dengan gaji yang lumayan.
Katanya, bercakap dan berbahaslah sebagai Ahli Parlimen yang mewakili rakyat, bukan sentimen parti semata-mata.
Sementara itu, Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli tegas menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa Parlimen akan bersidang September ini sebagaimana diumumkan Perdana Menteri di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, Putra yang mendokong prinsip demokrasi berparlimen dan keluruhan Perlembagaan Negara dengan tegas berpendirian, sidang Parlimen wajib dan mesti diadakan dengan segera sebelum tempoh darurat tamat, sebaiknya pertengahan Julai ini.
“Sidang Parlimen wajib diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dibahaskan serta diluluskan oleh Parlimen dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan secara terperinci, menyemak serta meneliti segala perbelanjaan bagi menangani pandemik Covid-19.
“Malah, hal-hal lain yang berkaitan dengan permasalahan rakyat serta setiap sen perbelanjaan wang negara yang sudah dibelanjakan dan akan dibelanjakan perlu diberitahu serta dibahas di Parlimen.
“Ini selari dengan tuntutan Putra yang dinyatakan oleh Presiden (Dr. Ibrahim) bagi menyahut pengumuman titah YDPA selepas perjumpaan bersama Raja-Raja Melayu petang semalam,” katanya.
Menurut Ashraf, Titah YDP Agong supaya Parlimen bersidang segera selari dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, menurut peraturan bahawa Pengisytiharan Darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya hendaklah dibentangkan di Parlimen.
“Sebelum ini YDP Agong telahpun memberi ampun perkenan agar Parlimen boleh bersidang, tetapi tidak dihirau. Bahkan, tiada tindakan mahupun usaha bagi membuka semula parlimen oleh kerajaan.
“Jika Parlimen bersidang September ini, maknanya ia selepas tarikh tamat darurat pada 1 Ogos 2021. Apakah strategi ada udang di sebalik batu yang mahu lari dari tanggungjawb prinsip akauntibiliti dan good governance yang wajib dipatuhi?
“Putra berpendapat dan berpendirian, jika kerajaan ingkar kepada titah YDPA supaya Parlimen bersidang segera, ianya boleh disifatkan dan diterjemahkan sebagai penderhakaan kepada titah dan ampun perkenan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette