Adenan (depan kanan) bersama Shahrul Azhar (kiri) dan Ang Guan melakukan pemeriksaan pematuhan SOP terhadap pengusaha bas dan pekerja kilang di Seberang Jaya di sini semalam.

SEBERANG PERAI – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 membabitkan kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas kilang di negeri ini berada di tahap memuaskan.

Ia terbukti apabila Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan 22 kompaun berjumlah RM68,000 terhadap pengusaha bas dan pekerja kilang yang gagal mematuhi SOP dalam Ops Pematuhan SOP Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang semalam.

Adenan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, operasi selama lima jam berakhir jam 10 malam itu menyaksikan ramai pemandu serta pekerja kilang gagal mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki kenderaan awam itu untuk ke tempat kerja mahupun pulang ke rumah masing-masing.

Jelas beliau, operasi di lima daerah negeri itu turut mendapati masih ada pengusaha bas kilang yang tidak menyediakan alat pengimbas suhu walaupun ia merupakan syarat wajib ditetapkan kerajaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan tidak imbas kod QR MySejahtera paling banyak dikesan iaitu sebanyak 12 kes dan diikuti dengan tidak menyediakan alat pengimbas suhu sebanyak lima kes.

Adenan (tengah) bersama pegawai kesihatan memeriksa kod QR yang disediakan pengusaha bas kilang.

“Rata-rata mereka memberi alasan terlupa serta tidak sempat mengimbas kod QR MySejahtera, namun kita percaya ia sudah menjadi kebiasaan tidak mematuhi SOP tersebut dalam kalangan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ negeri, Shahrul Azhar Mat Dali dan Ketua Cawangan Ispektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Ong Ang Guan.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 60 bas dan van pekerja kilang diperiksa, namun 16 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta 342 atas kesalahan tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Mengulas lanjut Adenan berkata, pihaknya turut mengesan tindakan segelintir pengusaha bas yang menggunakan kod QR MySejahtera bukan pada kenderaan yang didaftarkan.

Adenan (depan) menujukkan nombor plat kenderaan pada kod QR MySejahtera yang didaftarkan tidak sama dengan nombor pendaftaran kenderaan digunakan membawa pekerja kilang .

“Kita lihat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan pengusaha bas tidak sama dengan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan dalam kod QR itu sekali gus menyukarkan pihak Kementerian Kesihatan sukar mengesan kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan.

“Justeru kita nasihatkan pengusaha bas dan van kilang untuk mengambil berat isu ini serta mematuhi SOP ditetapkan agar kes jangkitan Covid-19 khususnya dalam kalangan pekerja dapat dilandaikan,” ujar Adenan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast