Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memeriksa dokumen CIMS sebuah kilang ÔwholesaleÕ semasa mengadakan Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKP 3.0 di Taman Industri Sg. Buloh, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2021.

PETALING JAYA – Tiga buah kilang di Taman Industri Sungai Buloh, di sini, masing-masing dikenakan kompaun RM50,000 dan diarahkan tutup kerana menjalankan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walaupun tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu.

Kompaun itu dikeluarkan menerusi Op Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP 3.0 yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama beberapa agensi bermula pada pukul 11 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, sebanyak 15 buah kilang yang berada di bawah kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya diperiksa menerusi operasi yang dijalankan.

Anggota Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan kompaun RM50,000 ke atas sebuah kilang pemborong bungkusan kaca dan plastik kerana beroperasi bukan di bawah sektor keperluan yang dibenarkan ketika Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKP 3.0 di Taman Industri Sg. Buloh, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2021.

“Tiga daripada kilang-kilang yang diperiksa telah diarahkan tutup kerana didapati menyalah gunakan surat dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana ada yang buat permohonan syarikat elektrik tetapi apabila kita jalankan pemeriksaan sebenarnya itu kilang kitar semula.

“Sebuah lagi kilang mengatakan mereka mengeluarkan alat perubatan tetapi selepas anggota periksa ia merupakan kilang pemborong botol kaca dan plastik, jadi kilang bukan sektor penting ini telah dikompaun RM50,000.

“Kilang itu juga dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak mengisytiharkan rekod kesihatan pekerja,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Jalan TSB 1, di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Fakhruddin, sebuah kilang menghasilkan produk kosmetik turut diarah tutup serta-merta kerana memalsukan pendaftaran operasi sebagai kilang pembuatan cecair pembasmi kuman.

Menurut beliau, kesemua kilang berkenaan diberikan arahan untuk menutup operasi sehingga tamat tempoh PKP.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menampal noits penutupan sebuah kilang barangan kosmetik yang memalsukan jenis operasi perniagaan sebagai pembuatan cecair pembasmi kuman diarah tutup serta merta kerana beroperasi bukan dibawah sektor keperluan semasa mengadakan Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKP 3.0 di Taman Industri Sg. Buloh, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2021.

Katanya lagi, Op Bersepadu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kementerian Dalam Negeri, KKM serta MITI itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mengenal pasti kilang-kilang yang didapati menyalah gunakan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh MITI.

Sementara itu, seorang kakitangan di kilang produk kosmetik berkenaan ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, dia sedia maklum bahawa operasi premis tersebut bukanlah berada dibawah sektor keperluan yang dibenarkan ketika PKP.

Bagaimanapun, dia bersama pekerja-pekerja lain terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh majikan untuk hadir menjalankan tugas seperti biasa.

“Sebelum ini memang sudah ramai persoalkan boleh ke kilang kosmetik beroperasi, saya sendiri tahu memang tak boleh operasi ketika PKP ini.

“Tapi apa boleh buat kami hanya pekerja dan masih perlu datang seperti biasa cuma dikurangkan jumlah sahaja.

“Sebelum ini pun ada kes di mana belum habis kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 tetapi kilang sudah panggil untuk masuk bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette