PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia akan dibentang di Dewan Rakyat minggu depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan dalam Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini.
“Sekiranya ada masa akan dibahas, dibuat bacaan kedua dalam mesyuarat kali ini.
“Jika tidak ia telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat yang akan datang. Jadi it’s on track finally,” katanya ketika sidang media hari ini.
Sebagai rekod, Fahmi pada 16 Oktober lalu berkata Kementerian Komunikasi sudah mengemukakan draf RUU MMM kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan akhir.
Sebelum ini katanya, penubuhan MMM, iaitu organisasi kawal selia kendiri bagi media dan pengamalnya penting untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk aduan awam terhadap media.
Jelas beliau, apabila ditubuhkan kelak, MMM bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan.-MalaysiaGazette
















