Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak pihaknya akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk dirakam keterangan.

Hamzah berkata, ia berikutan kenyataan Takiyuddin yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya sudah maklumkan sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebarkan sesuatu kurang senangnya apabila ada laporan yang dibuat, polis akan siasat kerana kadang kala saya nak kamu (wartawan) bagi maklumat lanjut kepada saya, kadang-kadang kamu semua cakap tidak maklumat lanjut menyebabkan orang lain yang jadi masalah.

“Jadi bila ada maklumat lanjut, kita akan siasat apa yang sebenarnya dia cakap,” katanya dalam sidang media berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di pejabatnya hari ini.

Hamzah berkata, pihak berkuasa akan memastikan dahulu kandungan ucapan Takiyuddin sebelum tindakan boleh diambil terhadap beliau.

“Biarlah polis siasat, supaya kita boleh dapat apa yang dia cakap. Saya akan pastikan dahulu (kandungan ucapan) dan kita akan pergi kepada yang lebih lanjut sebab kita tak boleh terus ambil seksyen mana selagi kita tak tahu.

“Kalau kita nak tuduh kita kena tahu kesalahan apa yang dilakukan baru ada seksyen (pertuduhan),” katanya.

Hamzah berkata demikian mengulas mengenai laporan polis Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang dibuat terhadap Takiyuddin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, siasatan polis tidak akan mengira darjat seseorang itu.

“Sesiapa sahaja yang ada laporan polis terhadapnya kita akan buat siasatan, kita tidak ada darjat mengenai bab itu,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kenyataan Takiyuddin terhadap titah YDPA adalah tindakan derhaka.

Pada Rabu lalu, Takiyuddin berkata, YDPA tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera dan tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan yang sama juga sudah hampir.

Sebelum ini YDPA berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. – MalasyiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast