KUALA LUMPUR – Sebanyak 72 lagi kes kematian berkaitan virus Covid-19 dicatatkan menjadikan kes kumulatif sebanyak 4,348 kes, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu memberitahu, ia melibatkan 64 warga negara dan lapan bukan warga negara.
Jelas beliau, Selangor mencatat kes kematian tertinggi sebanyak 23 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15) dan Negeri Sembilan adalah tujuh kes.
“Enam kes kematian dilaporkan di Pahang, masing-masing lima kes di Johor dan Sarawak dan tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Selain itu, masing-masing dua kes di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu kes di Sabah, Perak, Melaka, dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan harian Covid-19 di sini hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 24 kluster baharu dikenal pasti di mana 824 kluster masih aktif.
“Sebanyak 6,918 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan kes kumulatif adalah 622,244 kes.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 886 kes manakala 441 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette