Jordan Mintah. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Penyerang import Terengganu FC II yang kian menonjol di pentas Liga Premier, Jordan Mintah, semakin bernafsu besar bagi mengharungi baki saingan musim 2021 apabila meletakkan sasaran meledak 30 gol dan memenangi gelaran Anugerah Kasut Emas.

Malah, penyerang dari Ghana ini yang telah menjaringkan 15 gol secara keseluruhan dengan 11 daripadanya di pentas Liga Premier manakala 4 lagi gol di Liga Super, begitu optimis dia mampu mencari 15 lagi jaringan dari baki 10 perlawanan.

Baginya, tiada apa yang mustahil kerana pernah melakukannya semasa bermain di Liga Bola Sepak Filipina pada 2019 apabila menjaringkan 31 gol ketika mewakili kelab Kaya-Iloilo sekali gus memenangi anugerah penjaring terbanyak.

“Sebelum musim bermula, saya sudah meletakkan sasaran pada diri sendiri mahu mendapatkan 30 gol bagi meningkatkan peluang saya memenangi anugerah Kasut Emas.

“Sekarang saya sudah berjaya meraih 15 gol dan kini saya kena cari baki 15 lagi jaringan, saya akan berusaha sebaik mungkin dan berdoa kepada tuhan, saya berpeluang melakukannya.

“Ramai fikir seperti mustahil kerana baki perlawanan hanya tinggal 10 sahaja di Liga Premier tetapi apa-apa boleh terjadi, pengalaman semasa saya bermain di Filipina, memberikan kekuatan yang saya boleh lakukan sekali lagi di sini,” katanya.

Kelibat Mintah sebelum ini meraih perhatian ramai peminat setia Terengganu FC apabila dia yang diturunkan dalam enam perlawanan di Liga Super menggantikan David da Silva yang mengalami kecederaan, berjaya meledak empat jaringan.

Aksi cemerlangnya itu membuatkan sebahagian besar peminat mengharapkan Mintah agar terus kekal bersama pasukan kerana dia dilihat begitu klinikal dalam aspek menyudahkan peluang.

Namun, dia kembali dipulangkan ke pangkuan Terengganu FC II dan meneruskan prestasi konsistennya apabila meledak 11 jaringan hanya dalam lima perlawanan Liga Premier.

Mintah menegaskan tidak kira pasukan mana diturunkan bersama Terengganu, dia akan memberikan lebih 100 peratus kerana dirinya hanya mahu bermain bola sepak selain memikul tanggungjawab yang diberikan selaku penyerang.

“Di mana sahaja atau dengan pasukan mana sahaja saya bermain, saya akan berikan yang segala-galanya kerana anda kena ada rasa hormat terhadap sukan ini, bola sepak adalah sukan yang indah.

“Apa sahaja keputusan jurulatih meletakkan saya dengan pasukan mana sama ada TFC dan TFC II, saya tetap gembira malah tidak punyai sebarang perasaan kecil hati kembali bermain dengan TFC II sebaik David kembali pulih.

“Dalam bola sepak, kita tidak boleh ada perasaan memilih pasukan atau perlawanan untuk berikan yang terbaik, kita selaku pemain ada tanggungjawab tersendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Mintah mendedahkan ramai tidak tahu yang dia pernah hampir mengembangkan bakatnya di Perancis semasa usia remaja apabila pernah berlatih hampir dua tahun di kelab terkemuka, Olympique de Marseille.

Namun akibat terdapat selisih faham bersama ejen yang membawanya pada waktu berkenaan, dia kembali pulang ke Ghana pada umur 14 tahun sebelum memulakan karier secara profesional pada umur 17 tahun bersama kelab Kessben.

“Satu sisi yang orang ramai tidak tahu mengenai saya, Filipina bukanlah negara luar pertama yang saya berhijrah untuk bermain bola tetapi pada tahun 2010, saya pernah ditawarkan ke akademi bola sepak Marseille.

“Bagaimanapun, saya hanya berkesempatan berlatih di akademi sana selama setahun enam bulan tetapi ada masalah dengan ejen selepas detik itu ekoran masalah kewangan dan buat keputusan balik ke Ghana.

“Selepas dua musim bermain di liga tempatan, saya berhijrah ke Filipina pada umur 19 tahun pada tahun 2014 dan beraksi di sana selama enam musim,” katanya. – MalaysiaGazette