KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 pekerja Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dari kategori sektor pembinaan telah menerima vaksinasi pertama semalam.
Program diadakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur melibatkan dua trak vaksin bergerak yang disediakan oleh Optimax Holdings Berhad menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah.
Inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera, terutamanya dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
MRCB adalah antara industri swasta pertama yang ditawarkan untuk menerima vaksinasi di bawah inisiatif MyMedic@Wilayah, menurut syarikat tersebut.
Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan berkata, melalui soal selidik yang dijalankan dalam kalangan 1,557 pekerja, seramai lebih 1,200 orang telah mendaftar vaksinasi melalui MySejahtera, namun masih belum menerima tarikh temujanji setakat semalam.
Bagaimanapun, dengan adanya inisiatif trak vaksinasi bergerak yang dianjurkan secara khusus kepada pekerja MRCB, ia akan dapat mempercepatkan penerimaan vaksin, sekali gus membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19 di tapak pembinaan.
”Dengan memastikan majoriti warga kerja MRCB divaksin secepat mungkin, kami dapat mengembalikan operasi di tapak pembinaan secara optimum,” jelasnya. – MalaysiaGazette