KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil 18,702 guru baharu melalui Pengambilan Khas Guru secara one-off, tidak menggembirakan seorang pensyarah sebuah universiti tempatan.
Ini kerana, pada pandangan Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, seseorang guru itu mesti dilatih berdasarkan Objektif Pendidikan Program, Hasil Pembelajaran Program dan Hasil Pembelajaran Kursus berdasarkan Standard Pendidikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selama empat tahun.
“Kami dengan sukacitanya menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan melalui pengumuman Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin semalam berkaitan pengambilan guru baharu untuk KPM.
“Namun demikian, di sebalik berita gembira ini, tetapi agak mendukacitakan buat kami sebagai seorang pensyarah program pendidikan di universiti pendidikan nombor satu di Malaysia iaitu pengambilan guru bukan daripada program Ijazah Pendidikan atau Ijazah Dengan Pendidikan dari 13 Universiti Awam (UA).
“Untuk makluman Menteri, graduan Pendidikan Universiti Awam Malaysia telah dilatih selama empat tahun berdasarkan Objektif Pendidikan Program, Hasil Pembelajaran Program dan Hasil Pembelajaran Kursus berdasarkan Standard Pendidikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Dr. Radzi dalam sidang media dilaporkan berkata, pengambilan khas itu antara usaha kerajaan menangani kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sejak sekian lama di negara ini.
Pengambilan guru secara besar-besaran ini, kata beliau, juga adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara dan telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Malah, iklan pengambilan guru bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 7 Julai ini.
Menurut Dr. Ridzwan, setiap graduan pendidikan keluaran UA akan ditapis menggunakan Malaysia Educators Selection Inventory (MEdSI), sebelum ditemuduga untuk menjadi seorang calon Program Ijazah Pendidikan UA.
Kemudian, ujar beliau, graduan itu melalui 30 kredit kursus Profesional Pendidikan, 21 kredit Kursus Umum Universiti, 58-62 kursus major program, 21 kredit kursus minor, sembilan kredit kursus elektif bebas dan 10 kredit bagi Latihan Mengajar yang merangkumi Program Perantis Guru dan Latihan Mengajar.
Katanya, walaupun terdapat sedikit perbezaan kurikulum antara UA, namun semua graduan pendidikan itu mempunyai minat, pengetahuan, kemahiran dan sikap profesionalisme sebagai seorang pendidik, selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Graduan pendidikan ini juga menguasai segala aspek kurikulum abad ke-21, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan juga semua elemen di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terkini.
“Dengan semua pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan sebagai seorang pendidik, mereka juga mempunyai kompetensi teknologi, pedagogi, pengetahuan dan isi kandungan berkaitan mata pelajaran mereka di sekolah yang melibatkan major dan juga minor.
“Walaupun kita diuji dengan pandemik Covid-19 dan revolusi industri yang memerlukan pengalaman industri bagi melahirkan murid yang mempunyai aspirasi dihasratkan dalam PPPM, kami percaya dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat graduan pendidikan UA mampu terus meningkatkan kemahiran khususnya berkaitan praktis di industri,” katanya.
Beliau percaya dengan kebijaksanaan Dr. Radzi sebagai Menteri Kanan Pendidikan, dapat memastikan bakat terbaik sahaja menjadi pendidik kepada generasi baharu Malaysia.
Katanya, dengan segala kompetensi yang ada pada graduan pendidikan di negara ini, beliau percaya mereka akan membantu membentuk generasi baharu negara bangkit semula menjadi Harimau Asia.
“Dengan itu, sistem pendidikan di Malaysia akan terus cemerlang membina negara tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette