Orang ramai menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin pada operasi hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyasarkan 3,000 suntikan vaksin sehari bagi tempoh seminggu beroperasi yang bermula hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah sasaran itu bakal meningkat sehingga 10,000 suntikan vaksin sehari selepas itu.

Jelas beliau, PPV itu akan memberi vaksin jenis Sinovac yang disasarkan kepada golongan berusia 60 tahun ke bawah.

Menurutnya, Kompleks Sukan Bukit Jalil kini memiliki dua PPV di mana PPV Axiata Arena yang terletak bersebelahan SNBJ itu kekal memberi fokus kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) atas faktor keselesaan.

“PPV SNBJ ini akan memberi memberi fokus kepada golongan muda yang membuat pendaftaran awal sejak Februari lalu.

“Walaupun ada di kalangan menerima notis singkat temu janji pada hari ini di mana ada yang dimaklum hanya dua hari lepas.

“Namun ada yang sanggup datang untuk menerima vaksin pada hari pertama di sini,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di PPV SNBJ di sini hari ini.

Suasana tempat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada hari pertama beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 JUN 2021.

Khairy menambah PPV SBNJ merupakan antara PPV mega dengan memiliki kapasiti terbesar selain Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, The Mines dan Pusat Dagangan Putra.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menjawap persoalan kenapa PPV SNBJ itu baru dibuka pada hari ini.

Jelas beliau, ini kerana pihaknya ingin memastikan bekalan vaksin mencukupi sebelum PPV itu dibuka.

“Ada yang bertanya kenapa tidak dibuka PPV SNBJ lebih awal beberapa bulan lalu?

“Tapi kita tidak ada cukup bekalan dan bagaimana hendak buka PPV di sini.

“Kalau kita buka tapi bekalan tidak ada nanti orang ramai persoal kenapa membazirkan wang.

“Sekarang kita ada bekalan baru boleh buka,” katanya.

Khairy memberitahu, pihaknya tidak memiliki jumlah terperinci jumlah PPV baharu yang akan dibuka lagi dalam masa terdekat.

Namun kata beliau, ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang mencukupi berdasarkan keadaan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast