SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan gula di negara ini mencukupi untuk memenuhi permintaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, secara keseluruhan bekalan gula mencukupi sehingga hujung tahun ini meskipun sebuah pengilang utama mengalami masalah teknikal.
“Kita memberi jaminan 100 peratus bahawa tidak akan berlaku kekurangan bekalan gula sebab kita bukan sahaja dapat laporan daripada pemain-pemain industri, pemborong dan peniaga-peniaga.
“Kita ada pegawai penguat kuasa kita yang turun padang sepanjang masa untuk memantau kekurangan barang, memantau harga dan memantau pergerakan masuk barang dalam pasaran,” katanya pada sidang media di kilang gula CSR Sdn Bhd di Batu 3, hari ini.
Terdahulu Rosol membuat lawatan dan pemeriksaan bekalan gula di kilang terbabit hampir dua jam bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor.
Baru-baru ini, berlaku gangguan terhadap bekalan gula negara apabila sebuah pengilang gula utama mengalami kerosakan boiler.
Susulan gangguan itu, Rosol memberi jaminan KPDNHEP akan memantau sepanjang masa bekalan gula termasuk barang-barang lain di pasaran agar bagi memenuhi permintaan orang ramai.
“Saya sendiri dan pegawai-pegawai KPDNHEP boleh diakses pada bila-bila masa untuk memaklumkan segala kekurangan sama ada benda mahupun barang makanan lain untuk kita ambil tindakan segera.
“Maklum dari bawah sangat penting untuk kita bertindak dengan segera sebelum ia menjadi lebih parah, sebab itu kita bertindak segera untuk pastikan ianya tidak memberi kesusahan kepada masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette