Sehingga hari ini, tiada penyebab utama yang telah dapat dikenalpasti tentang kejadian klef ini.Gambar hiasan

DI Malaysia, dianggarkan terdapat 1 kes klef dalam 591 kelahiran hidup. Klef bibir dan klef lelangit, atau seringkali disebut sebagai sumbing merupakan rekahan pada bibir atau lelangit seseorang. Di awal kehamilan, bahagian muka janin akan berkembang secara berasingan dan kemudian bercantum. Apabila ada bahagian yang gagal bercantum, berlakulah klef dan ini dapat dilihat secara jelas semasa kelahiran bayi itu. Bayi yang lahir dengan klef lazimnya tidak mempunyai komplikasi kesihatan yang lain, namun akan mengalami kesukaran untuk menyusu sekiranya ibu bapa tidak mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Tanpa rawatan klef, kondisi ini boleh mengganggu pembesaran rahang atas dan bawah serta gigitan, pembentukan dan susunan gigi, juga pembentukan hidung dan bibir. Kesemua ini boleh menjejaskan paras rupa serta keupayaan mendengar dan bertutur dengan sempurna. Sehingga hari ini, tiada penyebab utama yang telah dapat dikenalpasti tentang kejadian klef ini.

Berbanding dengan keadaan 20-30 tahun dahulu, kini rawatan klef disediakan di beberapa hospital kerajaan dan swasta termasuk hospital pengajar, bermula dari tahap bayi sehingga umur 19 tahun. Dengan tempoh masa yang panjang dan kos rawatan yang tinggi, maka tidak hairanlah jika ramai individu klef tidak mendapat terapi pendengaran dan pertuturan, rawatan pergigian dan pendakap gigi, pembedahan penambahan tulang rahang, pembedahan rahang dan hidung.

Akibatnya, mereka menghadapi masalah pertuturan dan paras rupa yang tidak tipikal sehingga dewasa menimbulkan kesan negatif terhadap keyakinan diri, pergaulan sosial dan peluang pekerjaan. Ramai individu klef pernah diejek atau menjadi mangsa buli oleh rakan sebaya maupun orang yang tidak dikenali. Remaja klef juga dilaporkan mengalami tekanan mental dan gangguan emosi kerana merasakan diri tidak dapat diterima oleh rakan sebaya dan kelompok sosial mereka.

Dari segi peluang pekerjaan, adalah tidak dinafikan bahawa masalah pertuturan dan pendengaran yang dialami oleh belia klef boleh mengakibatkan sesetengah pekerjaan kurang sesuai untuk mereka. Akan tetapi, terdapat juga belia klef yang disisihkan oleh segelintirmasyarakat yang tidak memberikan mereka peluang pekerjaan hanya kerana kurang caknaterhadap isu klef.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan satu perbincangan kumpulan terfokus yang melibatkan seramai 19 orang belia klef. Selain daripada faktor fizikal, hasil perbincangan telah mengenalpasti beberapa faktor psikososial sebagai cabaran mendapatkan pekerjaan, terutamanya kesan pengalaman buruk zaman kanak-kanak dan tanggapan negatif masyarakat atas keyakinan diri.

Rata-rata masyarakat beranggapan klef dikaitkan dengan kebolehan mental dan akademik yang rendah. Tanggapan seumpama ini dalam kalangan bakal majikan ialah salah satu sebab utama yang menyukarkan individu klef untuk mendapat peluang pekerjaan yang baik dan setimpal dengan tahap pendidikan serta kemahiran mereka.

Keadaan ini lebih ketara di kalangan individu klef yang tidak mendapatkan rawatan, yang mana paras rupa dan pertuturannya lebih terjejas. Walaupun golongan klef tidak dianggap sebagai salah satu daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), hal inilah juga yang menyebabkan mereka mengalami isu diskriminasi yang sama dengan OKU dalam usaha mencari pekerjaan.

Disebabkan oleh isu diskriminasi ini, individu klef biasanya akan menerima apa sahaja pekerjaan yang dapat diperolehi walaupun mungkin tidak setara dengan kelayakan mereka. Tidak kurang juga individu klef yang rasa tertekan di tempat kerja disebabkan terdapat rakan sekerja yang kurang cakna dengan keadaan mereka.

Baru-baru ini satu webinar keusahawanan telah dianjurkan oleh Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Klef Bibir dan Mulut Malaysia (CLAPAM) khusus untuk golongan belia klef. Webinar ini bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai asas dan teknik menjalankan perniagaan dalam talian sebagai satu opsyen untuk belia klef yang lebih berminat untuk bekerja sendiri. Ia juga bertujuan untuk membuka minda individu klef agar berpemikiran dan berbudaya keusahawanan.

Kursus keusahawanan yang berfokus kepada membina idea perniagaan, jenama dan produk, penggunaan platform e-dagang, pemasaran dan pengurusan kewangan juga penting untuk menganjakkan minda belia klef dari seorang pencari pekerjaan ‘job seeker’ kepada penjana pekerjaan ‘job creator’ dan menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya.

Bulan Kesedaran Klef dan Kraniofasial diraikan dalam bulan Julai 2021 di Amerika Syarikat sebagai satu usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai individu yang lahir dengan kondisi klef, cabaran mereka dan juga kemudahan rawatan serta sokongan sosial yang disediakan dalam negara tersebut. Sesuai ini, masyarakat umum di Malaysia juga perlu prihatin mengenai cabaran yang dilalui oleh golongan ini termasuklah isu-isu berkaitan kebolehkerjaan mereka kerana mereka juga berhak untuk mendapatkan pekerjaan dan mencapai kesejahteraan hidup.

Masyarakat umum khususnya para majikan perlu mempunyai sifat yang lebih terbuka dalam memberi peluang kepada individu klef mencapai fungsi dan potensi diri yang optimum, serta mengelakkan sikap diskriminasi atas dasar perbedaan keadaan fizikal. Program kesedaran klef untuk orang awam wajar diadakan supaya bakal ibubapa terutamanya akan lebih peka terhadap keperluan rawatan klef sekiranya mereka dikurniakan bayi yang mempunyai klef, kerana setiap jenis rawatan klef ada waktu dan tempoh yang spesifik untuk dilaksanakan. Kehadiran temujanji juga perlu konsisten untuk memastikan hasil rawatan terbaik.

Pemerkasaan komuniti klef boleh dicapai melalui program peningkatan jati diri dan motivasi, latihan kemahiran, serta pendedahan terhadap peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka. Di dalam program kesihatan bagi golongan ini, protokol pengurusan rawatan hendaklah merangkumi sokongan psikososial sebagai persediaan menghadapi persepsi orang ramai apabila remaja klef memasuki alam kedewasaan, pekerjaan dan perkahwinan. Dalam masa yang sama, latihan khusus untuk mempersiapkan belia klef untuk menelusuri alam pekerjaan juga penting dan pihak penyelidik UKM juga telah menyediakan modul latihan untuk tujuan ini, mengambil kira isu-isu unik yang dihadapi oleh golongan ini.

Selain itu, para guru perlu memberikan sokongan moral kepada pelajar klef kerana mereka sering menjadi mangsa buli rakan sebaya. Dari segi kebolehkerjaan golongan ini, para pendidik juga boleh memainkan peranan dalam memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan keupayaan mereka.

Memandangkan situasi Covid-19 telah menyukarkan dapatan pekerjaan bagi semua, ilmu keusahawanan dilihat sebagai satu keperluan dan kemahiran asas penting dan wajar pendedahan diberikan pada peringkat sekolah lagi. Usaha ini adalah sejajar dengan dasar keusahawanan negara untuk meningkatkan usahawan yang berkualiti dan berdaya maju.

Dapat disimpulkan bahawa selain daripada masalah pertuturan dan paras rupa yang tidak tipikal, tekanan sosial juga satu faktor utama yang mengganggu kualiti hidup individu klef di pelbagai peringkat kehidupan mereka. Oleh itu, usaha dan perhatian untuk membantu individu klef menangani isu-isu sosial dan kebolehkerjaan harus dilakukan oleh semua pihak supaya mereka juga berupaya untuk hidup sejahtera dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Oleh: Prof Madya Dr Tuti Ningseh Mohd Dom
Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga Fakulti
Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia
Presiden, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia

Dr Haslina Rani
Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia
Setiausaha, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia

Dr Murshida Marizan Nor
Pakar Ortodontik dan Penolong Dekan Keusahawanan dan Kreativiti,
Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia