Penguat Kuasa MBIP menutup serta-merta operasi sebuah kilang yang memasang bendera secara terbalik dan turut didapati beroperasi tanpa lesen MBIP. - Foto Facebook MBIP

ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengarahkan sebuah kilang di Taman Perindustrian SILC di sini yang memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik menghentikan operasi serta merta.

MBIP dalam satu kenyataan memberitahu, premis Perindustrian tersebut turut dikenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen.

Menurut MBIP, pemeriksaan mendapati kilang berkenaan turut menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Perkara itu terbongkar selepas MBIP mengambil tindakan susulan aduan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berhubung pemasangan kedua-dua bendera berkenaan di premis terbabit.

Jalur Gemilang dan bendera Johor yang dipasang terbalik di Kawasan SILC, Johor.

“Hasil pemeriksaan yang turut disertai oleh ADUN Kota Iskandar dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemilik premis telah diberikan amaran tegas dan arahan untuk menurunkan serta membetulkan kedudukan bendera dengan serta-merta.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah.

“Susulan itu, MBIP mengeluarkan satu Notis Henti Niaga kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Pandak dan penguat kuasa MBIP melakukan pemeriksaan dalam kilang tersebut dan mendapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah

“Satu kompaun turut dikeluarkan kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP,” menurut kenyataan itu.

Tambah MBIP, premis berkenaan kemudian diarahkan menghentikan operasi dan ditutup kerana gagal mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja berada di premis terbabit, terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.

Pandak dan penguat kuasa MBIP bertemu dengan pihak kilang berkenaan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di depan premis mereka

Kesemua 12 warga asing itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi tujuan siasatan lanjut berhubung status permit pekerjaan mereka.

“MBIP memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk aspek pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.

“Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati.

Premis perniagaan terbabit diarah menghentikan operasi serta-merta

“MBIP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa Majlis. Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here