M Indira Gandhi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Julai ini bagi memutuskan permohonan pembatalan saman seorang guru tadika yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu.

Permohonan itu dikemukakan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman M. Indira Gandhi yang mendakwa polis gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suami mualafnya, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka yang kini berusia 13 tahun.

Muhammad Riduan dipercayai telah dilarikan oleh bapanya ketika berusia setahun.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali memutuskan demikian selepas pendengaran permohonan membatalkan saman berkenaan dalam aplikasi Zoom hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Soalan itu berkaitan siasatan yang dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di selatan Thailand.

Indira selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan pada 28 Oktober lalu.

Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang dilarikan oleh bekas suami itu.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak pasangan itu, Tevin Darsiny, 17; Karan Dinish, 16; dan Prasana kepada Muhammad Ridhuan yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan sebelum beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Indira Gandhi dan memerintahkan Muhammad Ridhuan mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mensabitkan Muhammad Ridhuan kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas beliau berulang kali gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada ibu kanak-kanak itu.

Mahkamah Rayuan juga telah membatalkan rayuan Muhammad Ridhuan terhadap sabitan menghina mahkamah dan perintah mendapatkan kembali selepas memutuskan ia tidak boleh mendengarnya kerana perayu belum membebaskan diri daripada sabitan itu berikutan mengingkari arahan mahkamah agar Prasana Diksa dikembalikan kepada Indira.

Indira dijangka memberikan sidang media berhubung perkara itu sejurus selepas keputusan mahkamah menetapkan tarikh pembatalan samannya. – MalaysiaGazette