Ministry of Higher Education (MOHE) public university fee discount IPTA
Ministry of Higher Education (MOHE)

PENDEDAHAN mantan Ketua Polis Negara (KPN) menjelang persaraan beliau awal bulan Mei lalu bahawa wujud campur tangan politik dalam menyusun atur perjalanan organisasi pasukan tersebut sedikit sebanyak menggugat persepsi masyarakat umum terhadap kewibawaan pasukan penguatkuasaan undang-undang tersebut yang sinonim dengan slogan “Integriti Amalan Kita”.

Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah satu-satunya badan penguatkuasaan yang bebas daripada campur tangan politik di negara ini. Sejarah telah menukilkan bahawa organisasi-organisasi lain seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan lain turut tidak terlepas daripada campur tangan politik yang menjejaskan reputasi serta integriti keseluruhan organisasi berkenaan di mata masyarakat umum.

Sistem demokrasi berparlimen di negara ini menyebabkan lantikan menteri lazimnya dibuat berdasarkan majoriti parti yang memenangi pilihan raya umum atau membentuk kerajaan, dan bukannya atas kredibiliti atau kewibawaan individu yang dilantik. Realiti bahawa jentera perkhidmatan awam bergerak atas kapasiti menyokong ‘government of the day’ menyebabkan sesiapa sahaja yang dilantik sebagai menteri akan mampu melaksanakan amanah yang diberi selagi mana kakitangan kementeriannya terus cekap melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang digalas. Hakikat ini jelas terbukti dalam senario perubahan kerajaan selepas tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 – yang menyebabkan negara tidak berkerajaan untuk tempoh seminggu – dan krisis pandemik Covid-19 yang berlaku dua tahun kebelakangan ini.

Natijahnya, campur tangan politik yang keterlaluan dalam organisasi, terutama yang melibatkan kerajaan, hari ini sudah menjadi ‘virus’ memualkan yang bukan sahaja mampu merosakkan integriti kepimpinan, bahkan mampu meruntuhkan organisasi secara menyeluruh sekiranya tidak dibendung dari berleluasa. Dalam kerakusan mencapai hasrat dan agenda peribadi misalnya, semua perkara ingin ‘dipolitikkan’. Sekiranya campur tangan dalam bidang penguatkuasaan dan perundangan boleh difahami ‘manfaat’ yang berpotensi dituai, campur tangan dalam bidang seperti pendidikan umpamanya amat menjengkelkan kerana matlamat akhir bidang ini adalah untuk membentuk generasi masa hadapan yang akan mewarisi kepimpinan negara.

Mengambil contoh dimensi pendidikan tinggi negara, sekiranya campur tangan politik daripada peringkat kementerian diturunkan ke pihak pengurusan institusi pendidikan tinggi yang sewenang-wenangnya mencatur gerak kerja bagi merealisasikan agenda ‘tersembunyi’ masing-masing semata-mata sehingga meminggirkan visi dan misi organisasi, yang manakah letaknya integriti pengurusan tertinggi institusi tersebut? Bukankah institusi pendidikan tinggi yang diberi kuasa autonomi seharusnya bebas menentukan hala tuju untuk kecemerlangan organisasi tanpa dibayangi ‘tangan-tangan ghaib’ yang meletakkan pemimpin ‘boneka’ dalam kalangan kepimpinan institusi? Bagaimanakah kepimpinan yang diragui integritinya ini boleh dihormati oleh golongan kakitangan akademik, pengurusan, pelaksana, malahan para mahasiswa institusi pendidikan itu sendiri?

Kesudahannya, apabila berlaku perubahan tampuk kepimpinan, institusi pendidikan tinggi terbabit akan dikenali dengan legasi-legasi mengarut tinggalan pemimpin-pemimpin ‘boneka’ lantikan politik ini berbanding kecemerlangan organisasi yang sewajarnya harus lebih diutamakan. Dewasa ini, elemen percaturan politik dalam arena pendidikan tinggi negara juga diandaikan menjadi asbab kepada kelewatan pelantikan Naib Canselor di lima buah
universiti awam tempatan dan terus hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Senario serupa turut berlaku dalam organisasi badan-badan berkanun, agensi-agensi, serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sentiasa membuat lantikan teraju kepimpinan berasaskan politik, tidak kira gabungan parti politik mana pun yang membentuk kerajaan. Tuntasnya, lantikan ‘kitar semula’ ahli-ahli politik ini seringkali menimbulkan masalah dalam kepimpinan kerana sesetengah mereka telah pun memiliki rekod krisis integriti lampau yang sewajarnya menjadi asas pertimbangan teliti sebelum sesuatu lantikan kepimpinan organisasi itu dibuat. Apabila berlaku sesuatu insiden yang memerlukan teraju kepimpinan ini untuk menyerlahkan wibawa dan ketokohan yang boleh diteladani, acap kali pula barisan pemimpin lantikan politik ini menunjukkan ketrampilan serta keperibadian yang mengundang cemuhan masyarakat umum.

Semua elemen campurtangan politik ini tuntasnya, merosakkan integriti kepimpinan dalam organisasi berkaitan secara total. Harus diingat, era globalisasi menyebabkan majoriti individu dalam komuniti kini bukanlah seperti generasi terdahulu yang hanya akur ‘menelan’ segala hujah ahli politik dan memiliki sifat ‘taksub’ kepada manifesto kepartian yang disogok setiap kali menjelangnya musim pilihanraya. Gelombang ‘tsunami’ politik yang berlaku sejak tanggal 9 Mei 2018 membuktikan masyarakat Malaysia telah ‘celik’ dan matang dalam menilai kepimpinan yang berintegriti dan benar-benar menjiwai hasrat rakyat.

Golongan yang mengaku pemimpin dalam mana-mana organisasi hari ini, tetapi masih ‘mabuk’ berpolitik harus sedar bahawa masyarakat umum kini lebih cenderung menilai personaliti kendiri holistik seseorang pemimpin; justeru, ancaman ‘tsunami’ 9 Mei 2018 tidak mustahil untuk berlaku pada masa hadapan dengan magnitud yang lebih hebat lagi bagi mengubah lanskap politik negara, sekiranya integriti kepimpinan dalam organisasi terus-terusan diabaikan dan dipandang enteng oleh golongan yang berkuasa hari ini.

Pemimpin yang memiliki integriti diri yang tinggi serta benar-benar ikhlas menjalankan tugas dan tanggungjawab pasti menjadi pilihan generasi masa depan untuk memacu organisasi dan negara ke arah yang lebih cemerlang. Kecemerlangan sesuatu organisasi itu dibina dalam suatu tempoh yang panjang dan tidak seharusnya dirosakkan oleh segelintir pemimpin yang tidak berintegriti dalam jangka masa yang singkat.

Justeru, campurtangan ‘kartel’ politik dalam kepimpinan organisasi perlu dibanteras habis-habisan dan menjadi agenda utama mana-mana pemimpin yang berhasrat menerajui kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, kerana yang jelas, golongan rakyat marhaen sudah terlalu muak dan jelak dengan kerenah ahli-ahli politik sebegini dan kuncu-kuncunya yang terkadang ‘lebih sudu dari kuah’. Pemimpin datang dan pergi, tetapi pemimpin yang akan dikenang adalah pemimpin yang sentiasa memiliki integriti diri yang tinggi dalam memacu kegemilangan organisasi, bukannya pemimpin yang asyik merancang legasi dan agenda kendiri melalui apa sahaja cara seperti disaran Machiavelli.

Lt Kdr Prof Madya Dr. Abu Yazid Abu Bakar TLDM (Bersara)
Ahli Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) merangkap
Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling / Psikologi)
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast