Senior Minister of Education Datuk Radzi Jidin teachers students school Covid-19 vaccine
Datuk Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta sedikit masa lagi untuk menyelesaikan isu ‘guru duka lara’.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau ambil maklum mengenai perkara ini kerana ia juga adalah isu lama dan telah dibincangkan sejak bertahun-tahun.

Beliau berkata, KPM banyak kekangan dalam menangani isu ini termasuk opsyen ke tempat guru-guru hendak pergi.

Dalam konteks isu ini, KPM menelitinya secara menyeluruh kepada pertukaran guru.

“Apabila saya masuk ke kementerian dan melihat isu ini, kita tak buat sewenang-wenangnya sekadar hendak bercakap, ikut sedap mulut, tidak.

“Kita susun terperinci, kita fahami apa masalahnya, kita tengok di mana puncanya, kita tengok strategi yang boleh dilaksanakan.

“Apabila kita selesa bahawa ini satu kerangka yang jelas, pendekatan yang baik, barulah kita akan umumkan,” katanya dalam wawancara semalam.

Istilah guru ‘duka lara’ ini merujuk kepada guru-guru yang sudah berkahwin dan terpisah dengan pasangan masing-masing dalam tempoh lapan dan sembilan tahun.

Kebanyakan kes melibatkan guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak dan pasangannya di Semenanjung.

Radzi memberi komitmen untuk menyusun pendekatan menyeluruh dalam menyelesaikan isu ini, biarpun mungkin tidak sepenuhnya.

“Walaupun tindakan yang diambil tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi sekurang-kurangnya perkara-perkara asas diselesaikan, meskipun tidak sepenuhnya.

“Sebab itu saya kata berikan kami sedikit masa lagi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette