MADRID – Sergio Ramos memberitahu beberapa bekas rakan sepasukan di Real Madrid bahawa dia akan menyertai Paris Saint Germain.
Ramos meninggalkan Los Blancos secara percuma selepas 16 tahun bersama kelab La Liga itu.
Keputusan itu bukan berita gembira buat beberapa kelab elit Eropah yang mahu mendapatkan pemain tersebut.
Keengganan pemain itu menyambung kontrak bersama Real menarik minat Manchester United, AC Milan, Chelsea dan PSG.
Pemain berusia 35 tahun itu dikhabarkan sama ada akan menyertai kelab England atau Itali.
Stesen radio Sepanyol, Cadena Cope, melaporkan Ramos memberitahu tiga pemain Real bahawa dia akan berhijrah ke Paris pada musim depan.
Laporan itu juga mendakwa Ramos sudah menerima tawaran lumayan yang dikemukakan PSG dan menolak bidaan kelab lain.
Sementara itu, PSG lebih cenderung untuk mengambil pemain berpengalaman untuk menguatkan jentera pertahanannya selepas gagal mempertahankan Thiago Silva yang menyertai Chelsea. – MalaysiaGazette