Muhammad Sanusi Md Nor-. Foto SYAFIQ AMBAK

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang kini menunggu nasihat undang-undang daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bagi menentukan tindakan seterusnya terhadap Menteri Besar Kedah.

Ia berhubung dakwaan Muhammad Sanusi Md. Nor dikatakan memandu uji kenderaan pada 5 Jun lalu di Auto City Juru, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkan ia kepada PPN.

“Kita telah hantar kertas siasatan ke Bukit Aman dan ia diserahkan kepada PPN untuk diteliti dan memberi cadangan selanjutnya.

“Kini kita tunggu nasihat dan pandangan undang-undang PPN untuk tindakan seterunya sama ada kompaun atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas di sini hari ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan pihak polis membuka kertas siasatan ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan dakwaan pandu uji (test drive) kereta baharu di Juru Autocity pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan itu dibuat selepas beberapa keping gambar menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memandu uji sebuah kenderaan tular di media sosial.

Jelas beliau, siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan)2021. – MalaysiaGazette