Mohammed Nizham Abdullah Hamidi

KUALA LUMPUR – Berita tular mengenai penjualan aset MAHB iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) kepada syarikat swasta memang mengejutkan.

Malah apa yang lebih mengecewakan apabila antara pihak yang dikatakan akan membeli LTAAS adalah syarikat WTC dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, penjualan aset-aset strategik negara seolah-olah suatu misi yang belum selesai bermula dari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sehinggalah ke hari ini.

Jelasnya amat mengecewakan bila kerajaan seolah-olah tidak peduli keperluan untuk mengekalkan pegangan kerajaan kepada aset-aset kerajaan seperti LTAAS demi kepentingan rakyat dan negara.

“Apa alasan kerajaan untuk menjual LTAAS? Adakah kerajaan tidak yakin dengan MAHB yang begitu berpengalaman menguruskan bukan 1 lapangan terbang tetapi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestic, 18 Short-takeoff and landing (SOTLport)?

“Juga sebuah lapangan terbang di Turki iaitu Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen. Jadi dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh MAHB sebagai salah satu kumpulan Pengusaha Lapangan Terbang terbesar di dunia, kami tidak nampak ada alasan yang kukuh untuk kerajaan menjual LTAAS ini.

“Niat penjualan LTAAS ini tidak lain dan tidak bukan berorientasikan kepentingan pihak swasta semata-mata yang bakal membuat keuntungan berbilion ringgit dengan pembangunan hartanas besar-besaran.

“Mangsanya adalah aset kerajaan yang seharusnya dilindungi oleh kerajaan. Ini sahaja objektif yang paling masuk akal yang boleh kami lihat di dalam kes penjualan LTAAS Subang ini.

“Tidak masuk akal jika kerajaan hendak menggunakan alasan MAHB tidak mampu menguruskan LTAAS sehingga memaksa kerajaan menjualnya kepada syarikat swasta,” katanya hari ini.

Jelas Mohamed Nizham lagi, LTAAS mempunyai kedudukan yang amat strategik di Lembah Kelang dan juga merupakan antara 7 lapangan terbang di dalam negara yang menguntungkan.

“Keuntungan inilah yang digunakan sebagai cross-subsidy di dalam membiayai lapangan-lapangan terbang yang kurang menguntungkan. Bayangkan jika ia dijual kepada syarikat swasta, natijahnya sudah pasti buruk,” tegasnya.

Katanya lagi, MAHB tidak akan mempunyai kekuatan untuk menguruskan keseluruhan lapangan terbang yang dimiliki secara efisyen.

“Ini juga akhirnya akan memaksa mereka menutup lapangan-lapangan terbang yang tidak menguntungkan walaupun ia mempunyai keperluan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Akhirnya yang rugi itu rakyat dan amat pelik jika kerajaan PN tidak langsung mampu untuk memikirkan kesan buruk daripada penjualan LTAAS ini.

“Perlu kita semua ketahui bahawa MAHB merupakan syarikat milik rakyat. Ia tidak bergantung kepada dana kerajaan walaupun ia dimiliki oleh Kementerian Kewangan, lebih 60 peratus pegangan saham dimiliki oleh Khazanah, KWSP dan KWAP yang mana ia merupakan aset yang mempunyai manfaat besar kepada rakyat.

“Jadi apa rasionalnya kerajaan hendak membuat tindakan yang akan menjejaskan kepentingan rakyat? Siapa lebih penting, syarikat swasta atau rakyat? Tolonglah fikir rakyat dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Nizham juga menggesa kerajaan untuk membenarkan MAHB untuk melaksanakan pelan ‘Sumbang Airport Regenaration’ demi kepentingan negara dan rakyat.

Katanya tidak ada sebab untuk kerajaan PN meragui keupayaan MAHB yang sememangnya mempunyai rekod yang baik di dalam menguruskan LTAAS.

“Kami di Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan juga memahami kegusaran yang dirasai oleh kesatuan sekerja dengan berita penjualan LTAAS dan berharap kerajaan mampu berfikir secara rasional dan waras di dalam isu ini.

“Benar kita  kini sedang menghadapi cabaran pandemik dan ekonomi yang hebat tetapi menjual aset negara seperti LTAAS bukanlah cara menguruskan cabaran negara malah kerajaan bertanggungjawab melindungi aset-aset milik rakyat sehabis baik,” tegasnya. -MalaysiaGazette