Atlet terjun negara, Jun Hoong.Foto Kredit: FB Jun Hoong.

KUALA LUMPUR – Dengan hanya berbaki sebulan lagi untuk SukanĀ  Olimpik 2020, atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong menerima khabar dukacita apabila tiada slot untuknya pada temasya kali ini.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengesahkan perkara itu semalam.

Sebelum itu, perenang itu sudah mengesahkan slotnya ke temasya di Tokyo namun perubahan peraturan FINA pula menghancurkan impian atlet tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga terkilan dengan perkembangan terbaharu itu.

Kata beliau, pihaknya mengambil maklum akan status kelayakan Cheong Jun Hoong seperti mana keputusan terbaharu FINA yang memaklumkan kepada pihak Persatuan Renang Malaysia (MAS) pada 22 Jun lalu bahawa tidak ada slot yang akan diperuntuk kepada Jun Hoong untuk bertanding dalam acara 10 meter Platform Individu.

“Ini adalah rentetan daripada keputusan selepas FINA Diving World Cup 2021 pada 6 Mei 2021 dan disiarkan pada 12 Mei 2021 yang menyatakan bahawa terdapat perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu iaitu hanya dua belas 12 tempat sahaja diperuntukkan berdasarkan keputusan di Kejohanan FINA Diving World Cup 2021 berbanding dengan lapan belas 18 tempat yang ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Reezal Merican, Jun Hoong telah menjalani pembedahan kedua-dua belah lutut pada September 2018 yang menyaksikan beliau terlepas peluang bertanding di Sukan Asia Palembang 2018 sebelum dibenarkan memulakan latihan ringan pada bulan Mac 2019.

Menurutnya, Jun Hoong seterusnya diluluskan untuk kembali berlatih secara intensif di bawah kendalian bekas Ketua Jurulatih Yang Zhuliang di China pada 17 November 2019.

“Keputusan oleh FINA ini dilihat bertentangan dengan syarat kelayakan asal yang diluluskan oleh FINA sebelum itu dan ia telah menjejaskan harapan Jun Hoong serta beberapa penerjun dari negara lain.

“Saya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh Jun Hoong pada ketika ini selain kesukaran yang beliau lalui sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula di mana pada satu ketika beliau telah hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang beliau alami,” ujarnya.

Justeru beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara untuk berbincang secara terperinci dengan Jun Hoong dan Persatuan Renang Malaysia untuk memperinci dan meneruskan program latihan yang sebelum ini terbukti berkesan.

Reezal Merican yakin Jun Hoong mengenepikan kekecewaan itu dan dapat meneruskan program latihan menuju Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China.

“Saya difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah pun menghantar surat rayuan kepada International Olympic Committee (IOC) yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan tersebut untuk mendapatkan satu penjelasan yang munasabah berhubung perubahan itu.

“Kita berharap IOC dan FINA dapat memberi pertimbangan semula berkenaan perkara (perubahan syarat kelayakan) ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette