Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin melihat orang awam yang mengambil suntikan vaksin semasa mengadakan sesi lawatan tapak ke PPV Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang sempena Hari Pelaut Sedunia 2021 ketika di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KLANG – Pemberian vaksin Covid-19 akan diperluaskan kepada pekerja  sektor pembinaan bermula 1 Julai ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaludin berkata, pemberian akan memfokuskan kepada tapak-tapak pembinaan projek penting dan masih beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, proses pemberian vaksin untuk sektor ini susulan daripadda pertambahan kluster baharu yang diakibatkan daripada penularan tempat kerja.

“Ini selaras dengan fasa keempat iaitu fasa kawalan wabak, ada yang tanya industri ini fasa empat boleh diaktifkan bila-bila waktu sahaja untuk pengurusan pandemik kita laksanakannya sebab penularan di tempat kerja sudah terbukti ada beberapa kluster jangkitan yang sudah mula di tempat kerja.

“Bekalan vaksin kita akan ditingkatkan kepada sektor-sektor yang beroperasi sewaktu PKP,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pengangkutan pertama di Lembaga Pelabuhan Klang, hari ini.

Jelas Khairy, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menyelaraskan program pemberian vaksin untuk sektor pembinaan kelak yang akan dilaksanakan tanpa menjejasskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, terkini perbincangan untuk memberikan vaksin kepada kakitangan sektor perladangan sedang berlangsung.

“Kita akan meluaskan kepada industri-industri lain CITF telah mula mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi sebab ladang-ladang pun masih beroperasi waktu PKP ini tidak mengambil apa-apa daripada program mainstream PICk ia berjalan seperti biasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette