KUALA LUMPUR – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memohon maaf kepada seluruh jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah itu pada tahun ini.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia sudah mengaturkan segala persiapan sejak tahun lalu dengan mengikut ketetapan dari Arab Saudi.
“Saya minta maaf bagi pihak Kerajaan Malaysia kerana tidak dapat menghantar jemaah ke Mekah tahun ini.
“Daripada awal lagi kita sudah nyatakan kesediaan untuk menghantar jemaah. Selepas apa yang berlaku tahun lalu, tahun ini kita membuat persiapan lebih rapi.
“Bahkan dalam empat minggu ini, kita sentiasa bermesyuarat khusus untuk haji,” katanya dalam program OWH! MG terbitan Malaysia Gazette.
Beliau berkata, antara inti pati mesyuarat tersebut adalah perancangan berapakah jumlah kuota jemaah yang diberikan, keperluan, kesihatan dan semua kelengkapan buat jemaah.
“Kalau Arab Saudi kata 20,000 ke 10,000 atau lima orang sekali pun, kita akan akur, asalkan dapat ke sana.
“Tetapi, baru-baru ini, saya terima panggilan daripada Kementerian Haji Arab Saudi yang menyatakan tidak menerima jemaah dari luar kerana Covid-19.
“Keputusan ini amat sukar untuk diberitahu kepada umum,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, biarpun perkara itu sangat menyedihkan, tetapi jemaah haji Malaysia sangat berbesar hati dan menerimanya dengan baik.
“Keputusan ini amat berat. Terima kasih atas bantuan rakan-rakan agensi dan media yang menyalurkan berita ini hingga jemaah dpat terima dengan tenang.
“Saya sendiri pun ingin bersama-sama jemaah kita ke sana untuk meningkatkan syiar Islam.
“Apakan daya, ini cerita dunia, ini cerita wabak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, tahun lalu Malaysia terpaksa menggunakan muzakarah dan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana tidak dapat menghantar jemaah mengerjakan ibadah haji.
“Ketika itu, kita tidak tahu nak buat macam mana, tetapi selepas perhalusi segala hal, seperti saya jelaskan tadi, Malaysia bersedia.
“Tidak mengapalah, andai ada peluang, tahun hadapan mungkin boleh ke sana dengan norma baharu,” katanya.
Baru-baru ini, Arab Saudi memaklumkan jumlah jemaah haji tahun ini terhad kepada 60,000 orang untuk warganegara Arab Saudi dan rakyat asing yang telah berada di negara itu sahaja.
Ini merupakan tahun kedua ibadah haji dilakukan pada musim pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette
Sekarang dah masa depan akan semakin tipis untuk umat Islam menunaikan haji. Tiba masanya kerajaan mewajibkan hanya yang belum haji sahaja dibenarkan menunaikan haji bagi memberi peluang lebih besar kepada rakyat biasa. Peraturan ini perlu kepada semua golongan termasuk PakPakMenteri, ahli politik, hartawan dan juga celebrities. Hak menunaikan tuntutan agama tidak boleh dimonopolikan atau diekslusifkan.