Dr. Azizah meninjau proses pemberian vaksin di Balai Rakyat, Padang Tembak di sini hari ini. 

GEORGE TOWN – Kira-kira 400 warga emas berusia lebih 60 tahun di kawasan Padang Tembak, Ayer Itam di sini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program vaksinasi kepada kumpulan berisiko tinggi.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,000 penduduk kawasan Padang Tembak yang menerima suntikan sejak dalam tempoh dua hari sejak program itu dilaksanakan.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr. Azizah Ab Manan, program pemberian bersasar itu mungkin boleh dilanjutkan dan diperluas pada masa depan melihat kepada sambutan diterima selain bergantung kepada bekalan vaksin.

Dr. Azizah meninjau proses pemberian vaksin di Balai Rakyat, Padang Tembak di sini hari ini.

Kata beliau, mereka yang menerima vaksin merupakan golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan termasuk dengan melakukan tinjauan termasuk dari rumah ke rumah. 

“Sebahagian daripada warga emas ini ada yang tinggal berseorangan, mempunyai masalah seperti uzur dan ada yang langsung tidak mengetahui mengenai inisiatif pemberian vaksin yang dijalankan kerajaan. 

“Menerusi program vaksin bersasar ini kita percaya golongan berisiko tinggi seperti ini tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin di Balai Rakyat, Padang Tembak di sini hari ini. 

Kawasan Padang Tembak yang padat dengan penduduk sebelum ini merupakan antara kluster Covid-19 melibatkan komuniti di negeri ini dengan sekurang-kurangnya 22 orang disahkan positif hasil saringan daripada 179 individu. 

Sementara itu, seorang warga emas, Chan Nyoke Yin, 83, berkata, dia teruja untuk menerima suntikan hari ini selepas pegawai kesihatan datang ke rumah memberitahu akan memberi vaksin baru-baru ini.

Chan Nyoke Yin (kanan) ditemani anaknya, Chew Koon Li.

“Saya gembira kerana dengan suntikan vaksin ini dapat melindungi diri serta keluarga daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Kes positif Covid-19 yang tinggi yang dilaporkan di kawasan kejiranannya di Padang Tembak itu menyebabkannya berasa bimbang apatah lagi dia mempunyai masalah kesihatan darah tinggi,” katanya yang ditemani anaknya, Chew Koon Li, 53. 

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Shamsiah Yahaya, 60, melahirkan rasa lega kerana sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

“Saya tanpa perlu bersusah payah ke pusat pemberian vaksin yang jauh daripada kediaman. 

“Saya harap keluarga yang lain juga dapat menerima vaksin segera supaya kami semua dapat dilindungi daripada risiko wabak ini,” katanya. – MalaysiaGazette