KUALA LUMPUR – Kira-kira 50,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara dijangka kehilangan pendapatan sehingga 40 peratus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Setiausaha Kerja Gabungan Persatuan Kontraktor KBK Malaysia, Daniel Iskandar Abdullah mendakwa, prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza-beza menyebabkan mereka terpaksa bertugas secara bergilir-gilir dengan kehadiran 60 peratus sahaja.
Beliau berkata, SOP itu jelas bertentangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan sektor pembersihan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh PKP 3.0.
“Kesemua pekerja pembersihan ini dalam kalangan berpendapatan rendah (B40). Mereka menerima bayaran RM1,200 sebulan, jika SOP 60 diteruskan, mereka hanya menerima gaji purata RM720.
“Ia disebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terpaksa menghadkan jumlah kehadiran pekerja sebanyak 60 peratus bagi semua sekolah di seluruh Malaysia.
“Peraturan baharu ini memberi kesan kepada sehingga 900 kontraktor yang akan dipotong bayaran kontrak sebanyak 40 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1, hari ini.
Daniel Iskandar berkata, ia tidak sepatutnya berlaku jika KPM tidak menggunakan kaedah lain, malah perkara itu tidak berlaku di kementerian-kemneterian lain yang membenarkan kerja-kerja pembersihan beroperasi sepenuhnya.
“KPM dilihat terlepas pandang kerana arahan MKN menetapkan 60 peratus kehadiran pekerja swasta dalam sektor pembuatan seperti kilang, bukannya syarikat pembersihan yang diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu.
“Pekerja pembersihan sepatutnya dibenarkan hadir bekerja di sekolah dengan kehadiran penuh 100 peratus kerana ketika ini hanya ada dua hingga lapan pekerja di setiap sekolah,” katanya.
Jelasnya, kawasan sekolah secara purata berkeluasan antara 10 hingga 20 ekar dengan beberapa blok dan aras masih membolehkan semua pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.
“Pekerja pembersihan ini tidak bekerja secara berkumpulan, sebaliknya bersendirian mengikut kawasan yang ditetapkan pihak pentadbiran sekolah.
“Jika kehadiran penuh dapat dikembalikan semua pekerja masih boleh mendapat bayaran gaji 100 peratus kerana bekerja penuh setiap hari,” katanya.
Susulan sekatan itu, pihaknya meminta KPM meneliti semula keputusan menghadkan kehadiran sehingga 60 peratus yang jelas bertentangan dengan SOP MKN.
“Kami juga memohon pembayaran kontrak semasa PKP 3.0 dibayar 100 peratus kepada semua kontraktor.
“Dengan pembayaran ia akan memberi manfaat kepada pekerja daripada B40 dan 900 kontraktor pembersihan terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette