APMM tahan bot nelayan gajikan warga asing di kedudukan 4.0 batu nautika barat Kuala Muda semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran di kedudukan 4.0 batu nautika barat Kuala Muda semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin OP BENTENG/OP PERTIWI telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 11.45 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, bot dikendalikan oleh tekong bersama tiga kru warga tempatan sementara dua lagi kru merupakan warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 32 tahun.

Bot yang ditahan APMM di kedudukan 4.0 batu nautika barat Kuala Muda semalam.

“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Pengkalan Marin Batu Uban bagi diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim negeri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abd Razak menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang 04 262 6146. – MalaysiaGazette