Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan menerima jumlah penghantaran vaksin berganda berbanding pada bulan Jun ini, sekaligus membolehkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) beroperasi sepenuhnya di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang berlangsung semalam.

“Dengan ketetapan itu apa yang diharapkan dengan bekalan berkaitan, ia akan membolehkan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai termasuk PPV lapangan (on site) membabitkan beberapa syarikat multinasional yang masih menunggu lampu hijau dapat dibuka serta beroperasi sepenuhnya.

“Kini, sebanyak 11 PPV awam telah beroperasi termasuk di SPICE Arena dan Universiti Sains Malaysia; PPV khas bagi ‘economic frontliners’; tujuh hospital swasta dan 19 klinik swasta.

“Secara keseluruhan, kadar vaksinasi harian bagi negeri Pulau Pinang kini adalah melebihi sasaran ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berlandaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dibentangkan sebelum ini dengan mensasarkan bahawa imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober 2021,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata, menerusi PICK sasaran vaksinasi yang ditetapkan oleh MOSTI kepada Pulau Pinang bagi bulan ini adalah berjumlah 6,544 dos sehari.

“Secara keseluruhan, sehingga 24 Jun, laman vaksincovid.gov.my melaporkan bahawa prestasi vaksinasi Pulau Pinang adalah pada kadar 13.91 peratus.

“Hasil usaha sama Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pihak-pihak berkaitan, negeri ini telah mencapai 14,422 suntikan pada 24 Jun dengan beberapa PPV mencatatkan tahap melebihi kapasiti maksimum ditetapkan.

“Kerajaan Negeri akan terus menggembleng sepenuh sumber bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang divaksinasi sepenuhnya,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast