Antara barang yang dirampas daripada 10 suspek tempatan termasuk empat wanita yang mendalangi kegiatan penipuan e-dagang yang digempur JSJK Bukit Aman di beberapa negeri di Utara dan pantai Timur dan juga Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket penipuan penjualan barangan dalam talian, e-dagang, yang menipu mangsa dengan tidak menghantar produk yang telah dibayar tumpas dengan tertangkapnya 10 individu dalam serbuan yang dilakukan di beberapa negeri semalam

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komerial Bukit Aman, Komisioner Datuk Kamarudin Md Din berkata, sindiket tersebut dikesan aktif sejak Mac lalu.

“Hasil serbuan seramai 10 orang suspek tempatan masing-masing enam lelaki dan empat wanita berusia sekitar 21 hingga 52 tahun telah ditahan.

“Manakala empat daripadanya merupakan pemilik akaun e-dagang sementara bakinya pemilik alamat IP yang digunakan bagi memperdaya serta menipu mangsa dalam talian, katanya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan dilakukan di sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan.

Menurut Kamarudin, polis turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 keping kad kredit, tiga modem, satu monitor dan sekeping pasport Bangladesh daripada sindiket itu.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati suspek mengiklankan barangan, antaranya permainan video PS4, tablet dan telefon bimbit melalui platform e-dagang.

Katanya, pembeli akan dihubungi dan diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek untuk proses tempahan dan urusan pembayaran, namun setelah bayaran dibuat barangan yang dijanjikan suspek tidak diterima mangsa.

“Kesemua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga 10 tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Dengan penahanan kesemua 10 suspek ini polis percaya sekurang-kurangnya 28 kes berkaitan penipuan e-dagang membabitkan sindiket berkenaan berjaya diselesaikan,’ ujar beliau.

Sementara itu, Kamarudin berkata, penipuan penjualan dalam talian menunjukkan trend meningkat apabila sebanyak 5,845 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 3,516 kes pada 2019, peningkatan 66.2 peratus.

Tambah beliau, sehingga 20 Jun lalu sejumlah 4,364 kes penipuan e-dagang dilaporkan pada tahun ini.

Bagi mencegah penipuan e dagang, Kamarudin meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada ketika membuat tempahan secara dalam talian.

Orang ramai digalakkan membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian nombor telefon melalui laman sesawang http;//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan.

Bagi mendapat maklumat lanjut atau nasihat berkenaan kes jenayah dalam talian, orang ramai boleh mengubungi CCID scam Response center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599. – MalaysiaGazette