Dua lelaki ditahan bawa tong ais berisi 100 bungkus air ketum di kawasan Ladang Hong Seng di sini semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang membawa bekalan air ketum menangis dan merayu kepada pihak polis agar dia dan rakannya dilepaskan susulan ditahan di kawasan Ladang Hong Seng, di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Pulau Tikus menahan dua suspek yang berusia 19 dan 21 tahun itu ketika membawa 100 bungkus air ketum dalam tong ais pada jam 8.45 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika serbuan dua suspek dilihat mengangkat tong ais berhampiran tapak pembuangan sampah di ladang itu.

Tong air berisi bungkusan air ketum yang dirampas pihak polis.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 100 bungkus plastik lutsinar yang mengandungi cecair berwarna hijau disyaki mitragynine dan diikat menggunakan getah.

“Cecair sebanyak 25 liter itu dianggarkan bernilai RM250,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tamabah Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette