LONDON- Bintang tengah River Plate, Nicolas De La Cruz kini berada dalam radar Manchester United untuk potensi perpindahan ke Old Trafford dalam jendela perpindahan semasa.
Nicolas berjaya menempatkan diri sebagai bintang utama dalam skuad kebangsaan Uruguay bersama penyerang Red Devils, Edinson Cavani.
Laporan di Uruguay mendakwa pemain muda berusia 24 tahun itu telah menyinar untuk kelab Argentina dan telah beraksi dalam kesemua aksi antarabangsa bersama Uruguay termasuk kemenangan 2-0 ke ats Bolivia dalam kejohanan Piala Copa America.
Persembahan Nicolas telah menarik tumpuan beberapa kelab elit Eropah dan Man United antara lima kelab gergasi yang bersedia mengemukakan tawaran lumayan untuk merembat khidmat pemain prolifik Amerika Selatan itu.
Dia mempunyai klausa yuran bernilai antara £13.7 juta dan £17.2 juta dan akan menjadi jualan terbesar dalam sejarah kelab itu.
Walaupun pengurus kelab itu Marcelo Gallardo tidak sanggup kehilangan pemain itu namun terpaksa akur dengan situasi semasa dan bersedia menerima tawaran dari kelab yang berminat untuk khidmat pemain itu.
Kelab Serie A Itali, Fiorentina yang sudah memiliki sejumlah besar pemain Amerika Selatan juga memantau rapat perkembangan pemain tersebut.- MalaysiaGazette