60 individu yang berkumpul dan berhibur dengan arak di sebuah pisat hiburan haram di bawah tanah sebuah hotel di ibu negara berjaya diserbu polis malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 60 individu yang berkumpul beramai-ramai dan berhibur di sebuah pusat hiburan bawah tanah di sebuah hotel di sini ditahan.

Sudahlah mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP), ia juga tidak mempunyai lesen.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam serbuan pukul 9.30 malam tadi, polis menahan kesemua mereka.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun termasuk 23 daripadanya adalah wanita.

“Pemeriksaan di dalam pusat hiburan bawah tanah itu mendapati ramai berkumpul dan berhibur sebelum polis turut menangkap seorang individu yang merupakan penjaga kaunter pusat haram itu, 12 pekerja serta 47 pengunjung terdiri daripada 29 lelaki dan 18 wanita.

“Pelbagai barang dirampas antaranya resit perniagaan, komputer riba, peralatan audio, kerusi dan meja selain botol minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah pusat hiburan bawah tanah sebuah hotel yang pernah kerap diseru sejak PKP tahun lalu bertindak berani mencabar pihak berkuasa dan buka operasi tanpa kebenaran sebelum diserbu lagi malam tadi.Foto Ihsan Polis KL

Tambah Nasri, siasatan awal pihaknya mendapati pengunjung pusat hiburan berkenaan mula memasuki premis tingkat bawah tanah itu seawal jam 1 petang.

Premis berkenaan dikesan beroperasi bermula jam 2 petang sehingga 10 malam.

“Ketika serbuan dilakukan oleh pasukan kami, pusat hiburan itu baru beroperasi sejak tiga hari lalu selepas selesai menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.

“Kesemua tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan, Seksyen 76 Akta Eksais, Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Difahamkan, pusat hiburan berkenaan  kerap diserbu pihak berkuasa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac tahun lalu selepas sering beroperasi tanpa kebenaran namun pengusahanya masih berdegil dan masih berani beroperasi seolah-olah mencabar pihak berkuasa.- MalaysiaGazette