Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan kejayaan rampasan dadah syabu bernilai RM6.439 juta yang dari dua suspek yang membawa bekalan itu dalam kereta Bentley ke negeri utara semenanjung dalam sidang media khas pagi Ahad 27 Jun 2021 di IPK Perak.Gambar Ihsan: IPK Perak.

IPOH – Taktik dua lelaki yang mengubahsuai kereta mewah Bentley dan menyorok dadah seberat 128 kilogram bernilai RM6.4 juta di dalam but akhirnya terbongkar.

Percubaan kedua-dua suspek yang cuba melepasi sekatan polis Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) dengan bekalan terlarang berkuantiti besar itu bagaimanapun gagal.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka ditahan semasa pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) PKP Penuh Covid-19 di Plaza Tol Gopeng pada 23 Jun lalu.

“Semasa kejadian, polis menahan kenderaan Bentley yang dinaiki kedua-dua suspek di SJR tol berkenaan sekitar pukul 7.30 malam selepas anggota bertugas di sekatan mendapati mereka dalam keadaan agak mencurigakan.

“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berusia 41 dan 47 tahun itu yang sedang dalam perjalanan dari Johor menuju ke utara melalui susur keluar tol berkenaan untuk mencari mekanik kenderaan sebelum kenderaannya ditahan polis bertugas di SJR untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam but kereta mewah itu polis berjaya menjumpai sebanyak 117 bungkusan teh disyaki dadah jenis Methaphetamine atau syabu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mior Faridalathrash, rentetan penemuan itu, kedua-dua suspek dan kereta Bentley dibawa segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar sebelum pemeriksaan lanjut  membawa kepada penemuan enam lagi bungkusan syabu seberat 6.28 kilogram yang disimpan di ruang khas penyimpanan tayar ganti di but kenderaan itu.

Keseluruhan rampasan sebanyak 123 bungkusan teh yang mengandungi syabu seberat 128.78 kilogram dengan nilai berjumlah RM6.439 juta dirampas.

Sidang media Mior Faridalathrash Wahid mengenao kejayaan IPK Perak menangkap dua rakan rapat yang membawa bekalan syabu bernilai RM6.439 juta dengan kereta Bentley ke utara semenanjung ditumpaskan dalam SJR Tol Gopeng Rabu lalu.gambar Ihsan IPK Perak.Malah katanya polis turut berjaya mengesan satu lagi kesalahan apabila mereka menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang sudah tamat tempoh dengan alasan urusan perniagaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bekalan dadah dalam kuantiti besar itu dibawa untuk pengedaran dan pemasaran di negeri-negeri utara Semenanjung.

“Dalam pemeriksaan sama, polis telah merampas wang tunai berjumlah RM3,390 dari suspek dan kereta Bentley yang dinaiki mereka dengan bekalan barang terlarang itu telah disita untuk tindakan lanjut selain mendalamkan siasatan sumber perolehan asal bekalan dadah itu oleh suspek.

“Ujian air kencing ke atas kedua-dua mereka mendapati salah seorang daripadanya dikesan positif dadah jenis methamphetamine di samping mempunyai beberapa kes rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 30 Jun ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39BAkta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.-MalaysiaGazette