Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan promosi iklan penjualan vaksin menerusi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan menegaskan, vaksin tidak boleh dijual sewenang-wenangnya dalam pasaran terbuka.

“Kita masih siasat kes penipuan jualan vaksin itu yang menyaksikan beberapa siri tangkapan sindiket baru-baru ini di ibu negara di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak tertentu sengaja guna taktik cuba menarik perhatian orang ramai dalam keadaan tertekan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh dan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memperdaya mereka dan mendapatkan vaksin yang tidak wujud sebenarnya.

“Mereka sebenarnya tidak ada bekalan vaksin itu, itu semua penipuan semata-mata, kalau ada pun dalam botol itu cecair tipu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan Lawatan Kerja ke D3 dan D9 JSJ Bukit Aman di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Abdul Jalil menyeru rakyat supaya tidak percaya sama sekali dengan iklan vaksin yang diuar-uarkan dengan bayaran tertentu.

Beliau berkata, vaksin itu bukan bekalan yang boleh dijual begitu sahaja memandangkan ia adalah produk sensitif, eksklusif dan perlu ada ciri keselamatan yang tinggi kerana membabitkan kesihatan dan bukan untuk dijual.

“Jangan sesekali percaya dengan penipuan mereka sebab vaksin ini tak boleh dijual di luar sewenang-wenangnya dan ikut pendaftaran MySejahtera dan anda akan memperoleh jadual suntikan mengikut masa temujanji yang ditentukan Kementerian Kesihatan.

“Dakwaan sindiket kononnya vaksin akan dicucuk dengan bayaran tertentu belum tentu sahih sebab dia juga boleh bawa suntikan lain dari luar, penagih dadah pun boleh cucuk juga.

“Sindiket tipu vaksin macam goreng pisang, siapa nak vaksin boleh bayar dan dapatkan vaksin dengan mudah…ini iklan vaksin yang hanya menipu orang, kena ingat bahawa ia bukan untuk dijual dan tidak boleh dijual.

Justeru, katanya, tiada sebarang kebocoran bekalan vaksin dilaporkan setakat ini bermula daripada lapangan terbang hingga ia diedarkan ke negeri-negeri.- MalaysiaGazette