Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.

Ia bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya dalam menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan perhargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secepat mungkin.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Agong mahu sidang Parlimen dibuat secepat mungkin

Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda hari ini berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara dalam sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pada pukul 11 pagi.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Jelas Ahmad Fadil, sesi menghadap tersebut merupakan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Alla SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kita buka Parlimen tak lama lagi – Mohd Rashid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast