Kanak-kanak orang asli suku Temuan mengulang kaji pelajaran di hadapan rumahnya dengan mengambil kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2021.

PENDIDIKAN merupakan aset yang utama dalam perlaksanaan pembangunan sesebuah
negara termasuklah Malaysia. Falsafah pendidikan Malaysia adalah untuk melahirkan rakyat yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat.
Setiap rakyat Malaysia dilihat mempunyai sikap keterbukaan untuk merebut dan
mencari setiap peluang yang ada demi mencapai kejayaan dalam diri sendiri dan juga untuk berbakti kepada negara. Selain itu Malaysia juga mengamalkan Program Pendidikan Inklusif yang bermatlamat memberi peluang pendidikan yang sama kepada semua termasuklah murid berkeperluan khas (MBK).

MBK mempunyai kesukaran untuk belajar dan memerlukan pengubahsuaikan kepada
kurikulum dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi diri secara
optimum. MBK berkefungsian rendah akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran. Fokus dan daya ingatan MBK yang agak terhad memerlukan guru yang kreatif dan berinovasi untuk mempelbagaikan teknik yang dapat memikat fokus dan tumpuan MBK.

Pandemik Covid-19 memaksa anak-anak untuk belajar dirumah tanpa guru secara
bersemuka sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Mengajar di alam maya tidak semudah mengajar di dalam kelas Bayangkan bagaimanakan golongan MBK ini perlu belajar dalam norma baharu PdPR ini.

MBK berkefungsian rendah memerlukan bimbingan ibu bapa sepenuhnya untuk
melaksanakan PdPR kerana mereka tidak boleh menggunakan gajet dengan sendiri, tidak
boleh membaca dengan lancar dan tidak faham tugasan yang diberikan guru. Ibu bapa pula perlu mengambil masa yang agak lama untuk memastikan anak-anak telah bersedia tanpa tantrum untuk menjadikan sesi PdPR sebagai rutin mereka.

Guru perlu memberi tumpuan kepada bidang dan kemahiran yang mudah untuk dilaksanakan di rumah dan perlu lebih kreatif serta berinovasi dalam sesi PdPR bagi subjek yang bersifat kognitif. Guru digalakkan menyediakan video khusus pengajaran secara luar talian supaya murid boleh mendengar dan menyaksikan sendiri guru mereka mengajar. Guru juga digalakkan untuk mengajar secara dalam talian dengan menggunakan google meet, zoom dan panggilan video supaya murid dapat bersemuka dengan guru mereka secara maya.

Selain kognitif, guru juga perlu menekankan subjek Pengurusan Kehidupan seperti
Pengurusan Diri. Subjek ini penting untuk meningkatkan kemahiran MBK mengurus diri
seterusnya memudahkan ibu bapa untuk mengajar dan melatih anak-anak mereka di rumah secara praktikal. PdPR adalah waktu yang sesuai untuk melatih MBK mengurus diri dengan bantuan ibu bapa di rumah, dan PdPR boleh dilaksanakan secara fleksibel mengikut kesesuaian guru dan murid di rumah.

Kemahiran mengurus diri adalah berbeza mengikut tahap kemahiran murid. Oleh itu
guru perlu mencari tajuk yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan di rumah. Antara tugasan yang boleh dipraktikakn adalah latihan ke tandas, memakai pakaian, stoking dan kasut sendiri tanpa bantuan. Perkara ini kelihatan remeh, tetapi amatlah besar maknanya jika MBK berkefungsian rendah dapat melakukannya tanpa bantuan.

Bagi murid berkefungsian tinggi pula, aktiviti yang menjurus kepada kemahiran hidup
boleh dipraktikkan dengan bimbingan ibu bapa di rumah. Tugasan berbentuk amali seperti
memasak, mengemas bilik, serta mencuci pakaiana adalah antara aktiviti yang yang sesuai untuk dipraktikkan oleh kumpulan MBK ini. Tugasan seperti ini dapat memberikan latihan kepada MBK pelbagai kemahiran urus diri yang dapat dipraktikkan dalam urusan kehidupan harian.

Kemahiran urus diri amat penting bagi membentuk MBK yang boleh berdikari seperti
insan lain selaras dengan Misi Pendidikan Khas oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM). KPM berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada MBK bagi
menjadikan mereka insan yang mampu berdikari, berjaya dalam hidup dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Cabran PdPR dalam suasana pandemik COVID-19 amatlah getir kepada semua pihak
guru, ibu bapa dan murid. Guru perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran dan ibu bapa perlu lebih banyak membantu dalam setiap tugasan. Memandangkan MBK memerlukan lebih perhatian berbanding anak di aliran perdana, kolaborasi guru dan ibu bapa adalah satu gabungan yang penting bagi memastikan keberkesanan PdPR bagi golongan murid berkeperluan khas (MBK).

Salmiah Masri
Guru Pendidikan Khas, SK Bukit Sekilau, Kuantan

Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad
Pakar Perunding Kanan Perubatan/Pensyarah Perubatan (IIUM)
Timbalan Pengerusi Wanita, Remaja dan Kanak-Kanak (PAPISMA)