Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk penggiat industri pelancongan dan kebudayaan merupakan sinar yang menyuntik semula semangat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dalam masa yang sama memberi jaminan akan memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan Pemulih bagi sektor ini berjalan lancar agar semua penggiat industri mendapat manfaat daripada bantuan itu.

“MOTAC bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa memastikan semua pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terutama berkaitan dengan sektor pelancongan, seni dan kebudayaan diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara bantuan secara langsung yang boleh dimanfaatkan oleh sektor pelancongan dan kebudayaan melalui Pemulih adalah lanjutan diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bulan Oktober hingga Disember 2021 kepada pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Selain itu, bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC dan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.

Turut diumum kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding diteruskan dengan sasaran lebih 300, 000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.

Peruntukan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu, yang melibatkan
lebih 8,000 penggiat seni.

Ia juga termasuk pemberian Program Subsidi Upah sebanyak RM600 kepada 500 pekerja bagi setiap majikan selama tempoh empat bulan iaitu, dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti di mana tiada lagi syarat had gaji ditetapkan  dan pemberian moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Sementara itu, Nancy menambah, MOTAC bersedia membantu pihak kerajaan menawarkan fasiliti atau bantuan daripada aspek tenaga kerja untuk meningkatkan kapasiti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) supaya lebih ramai lagi rakyat dapat divaksin dengan segera.- MalaysiaGazette