Seramai 229 warga asing yang bekerja di kilang lupus besi tanpa memiliki sebarang dokumen sah berjaya dicekup semasa serbuan Op Patuh Bersepadu oleh Imigresen di Meru Klang hari ini.

KUALA LUMPUR – Bukan sehari dua tetapi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh dilaksanakan 1 Jun lalu, pengusaha kilang perindustrian dan majikan sudah acap kali diberi amaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malangnya masih ada dalam kalangan mereka masih mencabar pihak berkuasa termasuk sebuah kilang pelupusan besi di Meru, Klang telah diserbu hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan, seramai 229 orang warga asing yang bekerja di kilang tersebut ditahan menerusi pemeriksaan pematuhan SOP manakala pihaknya turut memeriksa semua pekerja asing berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati bukan sahaja kilang ini melanggar dan tidak patuh SOP PKP malahan kilang ini juga turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu menggunakan tenaga kerja warga asing yang tiada dokumen dan tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai 229 orang lelaki warga asing yang terdiri daripada 99 orang warga India, 88 orang warga Bangladesh, 33 orang warga Pakistan, Lima warga Myanmar, tiga warga Indonesia dan seorang warga Nepal.

Kesemua tahanan berumur antara 22 tahun hingga 45 tahun.

Operasi Patuh itu dilaksanakan pasukannya pukul 11 pagi tadi dengan kekuatan 90 anggota dibantu oleh seramai 35 orang pegawai penguat kuasa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Tambah Khairul Dzaimee, selain pemeriksaan ke atas dokumen dan Pas pekerja asing, aspek pematuhan SOP PKP lain turut diperiksa oleh agensi lain yang terlibat dalam operasi yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, kilang lupus besi berkenaan turut dikenakan tindakan kompaun oleh PDRM sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP disusuli denda RM20,000 oleh JTK kerana gagal mematuhi SOP bagi pengurusan tempat kerja.

“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang timbunan besi tetapi segala percubaan itu berjaya digagalkan oleh pegawai operasi yang mengepung premis itu.

“Antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa,” ujarnya.

Kesemua tahanan warga asing itu akan dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963..-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast