Kaunter daftar masuk penumpang dilihat lengang ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan sempena Belanjawan 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan pelancongan domestik pada tahun lepas merosot 60.8 peratus dengan hanya merekodkan RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada 2019, menurut Laporan Survei Pelancongan Domestik 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut Pejabat Ketua Perangkawan dalam kenyataan, kemerosotan itu adalah kali pertama sejak 2008 apabila DOSM mula menyusun statistik Survei Pelancongan Domestik.

Kenyataan itu turut memetik ulasan Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang berkata langkah melaksanakan sekatan pergerakan akibat penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan aktiviti pelancongan domestik di Malaysia pada 2020.

“Secara keseluruhan, ketibaan pelawat domestik merosot 44.9 peratus dengan merekodkan 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada 2019, mengakibatkan penurunan 60.8 peratus dalam jumlah perbelanjaan dengan mencatatkan RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada tahun sebelumnya.” katanya.

Mohd Uzir menjelaskan bahawa prestasi rendah bagi perbelanjaan pelancongan domestik pada 2020, didorong oleh penurunan jumlah perbelanjaan pelancong dan pelawat harian dengan masing-masing sebanyak -65.9 peratus dan -51.1 peratus.

Mengenai jumlah perjalanan, Mohd Uzir berkata pelawat domestik hanya melakukan 147 juta perjalanan di dalam negara pada 2020, iaitu turun 55.8 peratus berbanding 2019.

Bagi perbelanjaan, beliau berkata membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi iaitu 52.6 peratus (2019: 37.8 peratus), daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh pelawat domestik.

Ia diikuti makanan dan minuman sebanyak 18.6 peratus (2019: 14.3 peratus) manakala bahan api kenderaan sebanyak 9 peratus (2019:15 peratus).

“Ini adalah kali pertama perbelanjaan bagi makanan dan minuman mendahului perbelanjaan bagi bahan api kenderaan,” katanya.

Mohd Uzir berkata buat kali pertama sejak 2008, peratus sumbangan perjalanan untuk tujuan membeli-belah merekodkan 42.3 peratus (2019: 35.4 peratus) mengatasi sumbangan perjalanan untuk melawat saudara-mara dan rakan, iaitu 32.0 peratus (2019: 42.3 peratus).

Ia diikuti oleh sumbangan bagi percutian, mengisi masa lapang dan berehat, iaitu sebanyak 16.9 peratus (2019: 9 peratus).

Mohd Uzir berkata pada tahun lepas, Selangor merupakan negeri paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik iaitu 19.7 juta pelawat, diikuti Perak (13.2 juta), Kuala Lumpur (12.4 juta), Sabah (10.3 juta) dan Kedah (10.1 juta). – MalaysiaGazette