Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 741 calon atau 1.72 peratus yang menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 mendapat PNGK (Purata Nilaian Gred) 4.00.

Daripada jumlah itu, 554 atau 74.76 peratus adalah daripada golongan B40, kata Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly.

Bagaimanapun katanya, bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 itu telah berkurangan sebanyak 61 calon daripada 802 calon yang mendapat PNGK 4.00 pada tahun lepas.

“Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon pada PNGK 3.09 ke atas telah meningkat daripada 33.45 peratus atau 14,994 calon pada tahun 2019 kepada 33.69 peratus atau 14,482 calon pada tahun 2020.

“Manakala peratusan longgokan calon pada PNGK 3.00 hingga 2.00 didapati telah menurun daripada 51.81 peratus (23,221 calon) kepada 50.97 peratus (21,910 calon) berbanding pada tahun lepas.

“Walaupun terdapat kenaikan dan penurunan pada PNGK calon keseluruhannya, Insya-Allah saya tetap yakin bahawa peluang bilangan lepasan STPM yang akan diterima masuk ke Universiti Awam masih besar seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2020 secara maya hari ini.

Wahid berkata, daripada segi perbandingan pencapaian PNGK calon bandar dengan calon luar bandar, didapati PNGK calon bandar masih mengatasi PNGK calon luar bandar dengan masing-masing PNGK 2.80 dan 2.78.

Ujarnya, daripada segi perbezaan jurang antara bandar dengan luar bandar pula, didapati perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar sama seperti pada peperiksaan STPM 2019, iaitu beza jurang sebanyak 0.02 mata.

Tambah beliau, calon STPM 2020 boleh menyemak keputusan peperiksaan, bermula tengah hari ini. – MalaysiaGazette