Polis menyerbu sebuah pub yang beroperasi dan mengingkari SOP di Jalan Changkat, Kuala Lumpur harii ini.

KUALA LUMPUR – Sudah buat salah namun tapi masih berbohong.

Itu rayuan seorang pemilik pub yang mendakwa premisnya hanya dibuka sekali sahaja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun siasatan polis mendapati premis di Jalan Changkat di sini yang sama sebenarnya sudah dua kali beroperasi sepanjang PKP dan kali ini, lapan individu ditahan.

Kelapan-lapan yang ditahan dalam serbuan pukul 5.30 petang itu adalah pemilik beserta dua penjaga warga asing dan lima individu tempatan disyaki pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semasa disoal pemilik pub mendakwa kononnya ini kali pertama ditahan atas kesalahan PKP.

“Namun kita dapat maklumat sebenarnya dia kebal dan membuka operasi sebanyak dua kali sebelum ini semasa PKP, cuma kali ini malangnya tidak berbau untuk dia, jatuh dalam jerat polis yang memerhatikannya sejak beberapa hari lalu sebelum menggempur,” katanya.

Justeru enam daripada mereka termasuk pemilik pub itu adalah warga tempatan dan dua warga asing iaitu seorang lelaki Bangladesh dan wanita Vietnam ditahan atas kesalahan melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu membuka operasi pub  dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Kesemua mereka didapati leka meminum arak di atas kerusi tinggi yang disediakan sambil berhibur tanpa sedikit pun menunjukkan rasa bimbang atau takut semasa kehadiran polis dalam premis itu.

“Pemilik pub itu telah dikeluarkan kompaun RM25,000 manakala lima pelanggan warga tempatan pula dikompaun RM25,000 iaitu RM5,000 setiap seorang dengan keseluruhan kompaun berjumlah RM50,000,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kata Mohamad Zainal,  kompaun dikenakan ke atas kesemua mereka berusia 35 hingga 46 tahun itu di bawah peruntukan undang-undang yang ada iaitu Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit tahun 2021 (pindaan).

Dalam pada itu, lelaki Bangladesh dan wanita Vietnam yang merupakan penjaga pub memiliki dokumen perjalanan tetapi mereka berdua ditahan dan akan dibuka kertas siasatan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta memeriksa kesahihan dokumennya kelak.

“Kertas siasatan ke atas kedua-dua warga asing itu akan dilengkapkan dan dirujuk segera kepada Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah menjalankan risikan terlebih dahulu sebelum menyerbu premis itu yang membuka operasi bermula pukul 3 petang setiap hari dan berselindung disebalik lesen restoran kedai makanan yang sah sehingga 4 September 2021.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast