Logo Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan peperiksaan dalam talian (e-Testing) bagi peperiksaan Imtihan al-Kafaah Li a-Lughah al-Arabiyyah (IKLA) akan diperluaskan.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, ia adalah selepas pengendalian peperiksaan secara e-Testing pertama yang dilaksanakan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk Medical Specialist Pre-Entrance Examinations (MedEx) 2020 bagi pihak Majlis Dekan Perubatan Universiti Awam.

Menurutnya, peperiksaan IKLA itu bakal dilaksanakan untuk pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata, menerusi e-Testing, calon tidak perlu ke pusat peperiksaan bagi mendudukinya sebaliknya, kekal di lokasi masing-masing.

Pengenalan peperiksaan dalam talian adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Way Forward MPM’ serta sebagai tindakan pasca Covid-19.

“Sebagai tambahan daripada rancangan Way Forward MPM juga dan kesan Covid-19, MPM buat kali pertama melaksanakan peperiksaan secara e-Testing, iaitu peperiksaan secara dalam talian sepenuhnya kepada bakal doktor pakar perubatan peperiksaan MedEx 2020.

“Peperiksaan MedEx adalah dikelolakan MPM mulai 2019 bagi pihak Majlis Dekan Perubatan Universiti Awam.

e-Testing yang berikutnya yang bakal dikendalikan oleh MPM, Insya-Allah ialah peperiksaan IKLA yang akan dikendalikan oleh MPM bagi pihak USIM,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2020 secara maya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Ekesekutif MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2020 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.

Katanya, mata pelajaran Literature in English telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya melebihi 3.00 peratus manakala Mathematics T telah menunjukkan penurunan prestasi lulus penuh berbanding pada tahun sebelumnya melebihi -3.00 peratus.

“Sebanyak 21 mata pelajaran lain dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara 2020 dengan 2019 adalah kurang daripada 3.00 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette