Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Program Bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.

“Tambahan program ini yang melibatkan agihan peruntukan sebanyak RM300, 000 diberikan kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang.

“Peruntukan ini bagi memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, peruntukan tersebut telah disalurkan kepada semua ahli Parlimen bermula hari ini.

Jelasnya, bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan. – MalaysiaGazette