KUALA LUMPUR – Setakat 27 Jun, sebanyak 4,537 syarikat membabitkan 669,846 atau 30% pekerja dalam sektor pembuatan di seluruh negara telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Berdasarkan maklum balas yang cukup baik dari pihak majikan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited sasaran imuniti kelompok seramai 2 juta pekerja dapat dicapai menjelang September tahun ini, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
MITI mensasarkan sekurang-kurangnya 90% daripada tenaga kerja sektor itu menerima vaksin.
Perdana Menteri dalam pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi memperkasakan lagi program vaksinasi melalui PIKAS.
Program PIKAS dilaksanakan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Penggunaan Umum dan PPV di Tapak.
Menurut beliau, bagi memastikan operator kemudahan vaksinasi tidak mengenakan kos berlebihan kepada majikan yang perlu menggunakan perkhidmatan PPV sedia ada, MITI meminta kos standard RM30 setiap dos selain RM15 disalurkan kepada ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
Sambutan dari para majikan dan pekerja juga cukup menggalakkan kerana dasarnya tak lain tak bukan hanyalah untuk menjamin keselamatan pekerja, mengurangkan kluster dan seterusnya memastikan operasi perniagaan serta ekonomi negara dapat dipertingkatkan.
Bagi majikan/syarikat yang belum mendaftar dan berminat menyertai PIKAS, boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.miti.gov.my. – MalaysiaGazette